LANTANG bersuara isu keamanan di bumi bergolak Palestin, pelakon Nadhir Nasar menganggap ia adalah tanggungjawabnya sebagai seorang selebriti.
Jelas Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, dia juga tidak bimbang jika pendapatnya yang menyokong Palestin akan memberi kesan terhadap pembabitannya dengan mana-mana jenama antarabangsa.
“Kalau ada yang rasa takut disekat oleh mana-mana jenama, apa yang saya boleh katakan semua itu hanya sementara. Apa yang kita miliki ini sementara sahaja.
“Jadi perjuangan yang saya buat ini adalah untuk perjalanan saya lebih jauh lagi. Saya harus lakukan ini.
“Saya ada platform dan pengaruh. Saya perlu cakap perkara yang benar. Tak perlu takut hilang punca rezeki,” katanya kepada URTV.
Nadhir berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media drama terbaharu lakonannya, My Famous Ex-Boyfriend yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara, hari ini.
Nadhir diminta mengulas pekara itu selepas ramai dalam kalangan selebriti terkenal dunia menerima kesan susulan sokongan mereka terhadap salah satu negara bergolak.
Ujar Nadhir, dia juga amat tegas menyatakan pendirian sendiri kerana ini merupakan salah satu cara perjuangan membela mangsa perang teraniaya.
“Apa lagi yang boleh saya buat? Kalau nak pergi berperang, adakah iman saya sudah cukup kuat dan pergi berperang untuk menyelamatkan mereka?
“Ini sahaja cara saya untuk saya tunjukkan sokongan terhadap saudara Islam di sana.
“Kita tidak boleh bercakap soal keamanan atau hak asasi kerana ia sudah tertulis begitu. Jadi dalam isu ini kena pilih pihak mana kita sokong.
“Apabila sudah menyokong saya perlulah lantang bersuara,” jelasnya.
Sementara itu, Nadhir juga enggan mengambil serius mengenai tanggapan orang luar bahawa sokongannya terhadap isu tersebut bersifat bermusim.
Baginya, dengan sedikit sokongan atau suara yang dilontar sudah cukup memberi makna dalam perjuangan membantu Palestin.
“Tak kisahlah seseorang selebriti nak sokong isu perang ini dikatakan bermusim. Buat baik sedikit pun sudah cukup daripada tidak melakukan apa-apa.
“Siapa yang tak buat apa-apa tindakan itu lebih teruk,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

