MALAYSIA akan terus memainkan peranan membantu rakyat Palestin membina semula kekuatan bangsa melalui ilmu dan pendidikan.
Demikian ditegaskan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Palestin ke Malaysia, Jehad Alqedra.
Jelas beliau, Malaysia sentiasa percaya bahawa pendidikan adalah jambatan harapan, keamanan dan masa depan.
“Saya menerima kunjungan hormat daripada Jehad Alqedra, Duta Besar Palestin ke Malaysia.

“Kami berbincang mengenai usaha memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara Malaysia dan Palestin,” jelasnya.
Beliau menambah, perbincangan turut menjurus kepada sokongan berterusan kepada pelajar Palestin serta peluang kerjasama antara universiti kedua-dua negara.
Menurut laporan Pejabat Media Kerajaan Gaza, kira-kira 165 institusi pendidikan di Gaza musnah dalam serangan rejim zionis untuk tempoh dua tahun ini manakala 392 lagi mengalami kerosakan teruk.

