Tujuh Vibrato Gitar, Jo Branko sifatkan impian jadi nyata – “Kerja gila tapi ini semua untuk industri muzik kita”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

MENJADI pencetus idea konsert Tujuh Vibrato Gitar, Jo Branko optimis sekiranya iniatitf yang dilakukannya itu dilihat gagal memenuhi citarasa peminat.

Apa yang pasti kata Jo, dia tetap berpuas hati kerana hasratnya untuk melihat gabunga tujuh gitaris legenda tanah air bersatu di atas pentas akhirnya dapat direalisasikan pada 3 November ini di Zepp Kuala Lumpur.

“Kalau gagal sekalipun, saya okay saja sebab dah buat. Saya lega dapat laksanakan impian saya.

“Kerja ini memang ‘kerja gila’ tapi ini semua untuk industri muzik kita. Dapat bergabung dengan pemain-pemian gitar terhebat dan bertukar-tukar pendapat.

“Kalau saya seorang sahaja yang gerakkan projek ini, mustahil untuk saya mampu laksanakan semua kerja ini,” katanya kepada URTV.

Jo bakal beraksi bersama Kidd Search, Man Keedal, Shah Alam, Jembo Def Gab C serta pemain gitar muda, Muzza dan Anis Kalisa.

Mereka akan diiringi oleh kumpulan Barbarik yang dianggotai oleh Rozaimie selaku pemain bass, Adi Yamin (keyboard) dan Ainoll (drum).

Konsert yang akan bermula pukul 8.30 malam itu akan berlangsung selama dua jam setengah dengan 21 buah karya bakal dipersembahkan kepada penonton yang hadir.

Daripada 21 buah karya tersebut, 14 lagu akan dinyanyikan oleh Muss, Datuk Hattan dan Lan Solo.

“Semua lagu macam lagu baharu cuma melodinya sahaja kita akan kekalkan. Kita pun dah masuk hari ke-36 untuk sesi latihan dan semuanya mengikut jadual yang telah disusun.

“Kebanyakan lagu-lagu yang dipersembahkan adalah lagu era zaman saya iaitu era 80 dan 90an. Antara lagu yang bakal dipersembahkan seperti Perjuangan, Hati Emas nyanyian kumpulan Kembara.

“Kita akan bawakan lagu daripada kumpulan Search, May, Rusty Blade dan Ramli Sarip. Kebanyakannya lagu-lagu berirama rock dan istimewanya ada segmen akustik dengan lagu medley yang menjadi jantung konsert tersebut,” ujarnya.

Selain dari proses pemilihan lagu, perkara yang amat penting dan mencabar untuk menjayakan konsert ini adalah dari segi teknikal.

Tujuh gitar elektrik dan tujuh gitar akustik akan digunakan untuk persembahan itu nanti, bermula dari pemasangan, pengujian bunyi, pertukaran gitar semuanya perlu dibuat dengan teliti dan cekap agar tidak ada kecacatan sewaktu beraksi di atas pentas kelak.

“Setiap kali konsert mesti kita nak bagi orang puas, saya harap mereka akan puas dengan apa yang kita bagi pada malam itu nanti, dari segi gubahan lagu, momentem ‘show’ dan saya yakin penonton akan puas hati selepas tamatnya konsert itu nanti.

“Apa yang kita buat ini satu eksperimen untuk orang lain dengar bukan untuk kita. Kalau kita main ikut syok kita, ia akan habis macam tu sahaja tetapi kita buat supaya halwa telinga penonton yang mendengar muzik yang kita mainkan itu lebih sedap dan menjadi satu pengalaman yang mungkin akan diingati sampai bila-bila, kita harap macam tu la,” ungkapnya.

Konsert ini dianjurkan oleh Big Stage Entertainment Channel dan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai penganjur bersama.

“Banyak orang nak buat ‘show’ seperti ini, lebih memfokuskan kepada pemuzik tapi tak kesampaian sebab kosnya terlalu tinggi.

“Kerjanya lagi rumit tetapi sebenarnya baik untuk industri muzik kita, untuk diri sendiri dan ia amat berbaloi jika ada peminat yang menyokong.

“Kalau konsert ini berjaya, kita akan adakan lagi untuk konsert vol 2 dan 3. Mungkin akan datang kita tambah dengan konsert pemain dram pula…kita kena pecahkan ruyung tu dulu.

“Konsert yang ini kita kena pecahkan dulu, jika orang boleh terima bukan saya sahaja maksudnya orang lain pun kalau ada idea dia boleh buat sebab konsert ini boleh dijadikan sebagai penanda aras,” ujarnya.

Jualan tiket konsert Tujuh Vibrato Gitar amat menggalakkan dan setakat ini tiket-tiket sudah pun terjual sebanyak 70 peratus.

Tiket boleh dibeli menerusi www.tix-box.com. Harga tiket mengikut kategori Cat 1 Rock Zone RM188 (berdiri), Cat 2 Normal Seats RM278.00 (bernombor), Cat 3 Premium seats RM338 (bernombor) dan Cat 4 VIP box RM5,000 (8 pax/box).


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Karyawan tuntut kerajaan ambil alih kutipan royalti, mahu tamatkan kemelut 2 dekad

PERSATUAN Artis Malaysia (Karyawan) secara rasmi menuntut Kerajaan Malaysia untuk campur tangan dan mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas...

More Articles Like This