DEBARAN peminat muzik keras tanah air akhirnya terjawab! Dua gergasi rock dan metal tempatan, Cromok dan Barbarik bakal menggegarkan pentas dalam satu kolaborasi bersejarah menerusi Konsert Black On White Cromok-Barbarik yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun ini di IdeaLive, 3 Damansara.
Gandingan dua nama besar ini bukan sekadar sebuah konsert biasa, malah ia merupakan medan pertemuan dua legasi yang mempunyai identiti teguh dalam nadi peminat rock dan metal sejak berdekad lamanya.
Apa yang mencuri tumpuan, konsert anjuran KARL Legacy dengan kerjasama Pentas Barbarik ini bakal membawa perubahan drastik dalam landskap persembahan ‘live’ di Malaysia.

Karl Cromok mendedahkan mereka akan mempertaruhkan teknologi No Noise Digital Stage, sekali gus menjadikan mereka kumpulan pertama di negara ini yang tampil dengan konsep digital sepenuhnya.
Menurut Karl, penonton bakal merasai kualiti audio yang jauh lebih bersih dan jelas berbanding konsert konvensional sebelum ini.
“Kami tampil dengan konsep digital sepenuhnya. Tiada lagi penggunaan dram akustik mahupun amplifier gitar di atas pentas.
“Segalanya dikawal menerusi satu mikrofon, peranti digital, dan sistem in-ear monitors.
“Penggunaan teknologi ini membolehkan pemantauan audio menjadi lebih jelas, sekali gus meningkatkan kualiti persembahan dan memberikan pengalaman yang jauh lebih baik kepada penonton,” katanya.

Bagi gitaris Barbarik, Jo, konsert ini merupakan satu penghormatan buat para pengikut setia yang selama ini menjadi tulang belakang perjuangan mereka.
Selain kolaborasi eksklusif yang belum pernah dibayangkan peminat, kedua-dua kumpulan ini juga bakal melancarkan single terbaharu mereka secara langsung pada malam tersebut.
“Ini bukan sekadar konsert biasa. Konsert ini menjadi pertemuan dua legasi yang sudah lama beraksi dalam liga masing-masing.
“Bila digabungkan, impaknya pasti berbeza. Kami mahu beri pengalaman yang luar biasa buat peminat agar ia menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Malah, peminat akan nampak sisi berbeza daripada kami menerusi kolaborasi yang mungkin mereka tidak pernah bayangkan sebelum ini,” kata Jo penuh teruja.

Konsert yang mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures itu menawarkan pelbagai kategori tiket bagi memastikan semua lapisan peminat dapat merasai kehangatan muzik mereka.
Harga tiket bermula daripada RM175 (CAT 1) sehingga RM998 bagi pakej VIP (CAT 6).
Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web MyArteez (untuk CAT 1, 2, dan 6) serta Fantopia (untuk CAT 3, 4, dan 5).

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

