KUMPULAN rock Barbarik bakal membawakan seleksi lagu dari kumpulan Wings sempena Konsert Barbarik: Pentas Peluru Cokelat yang dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, pada 28 Jun hadapan.
JoBranko selaku penerbit, komposer, dan pemain gitar Barbarik, menyatakan bahawa konsert ini menjadi platform buat dirinya dan Muss selaku bekas ahli Wings selain mahu menghidupkan kembali karya-karya lama mereka.

“Sebenarnya, kami mahu menyanyikan lagu sesiapa pun boleh sebab ada lagu yang saya hasilkan, jadi tiada masalah. Tapi, menerusi konsert ini, kami mahu hasilkan muzik lebih segar berbanding sebelum ini.
“Album Peluru Cokelat pun baru ada enam lagu baharu, jadi memang kami perlukan lagu-lagu yang zaman saya dengan Muss. Selepas itu, saya akan pilih lagu-lagu yang saya hasilkan dengan band lama.
“Sebab ada peminat nak dengar lagu bersama band sebelum ini, jadi kami beri sedikit apa yang mereka nak dengar.
“Ada yang masih belum biasa dengan muzik Barbarik dan lebih suka lagu-lagu lama,” katanya kepada URTV.

Jo berkata demikian pada sidang media konsert tersebut yang berlangsung di ibu negara, petang tadi.
Konsert itu dibawakan oleh Karri Talk Production dan Pentas Barbarik Sdn Bhd selaku penganjur bersama.
Selain lagu-lagu Wings, konsert itu turut menyajikan lagu yang pernah melonjakkan nama Muss ketika bersama kumpulan May, di samping karya-karya daripada album Peluru Cokelat yang dilancarkan tahun lalu.
JoBranko turut menekankan bahawa konsert kali ini amat bermakna kerana ia merupakan kali pertama Barbarik mempersembahkan sepenuhnya lagu-lagu ciptaan sendiri daripada album terbaru mereka.
“Sebelum ini, kami mendendangkan lagu-lagu ketika Muss bersama Wings iaitu dalam enam album, tetapi kali ini, ada buah tangan baharu yang menampilkan identiti Barbarik itu sendiri.
“Setiap konsert pasti mempunyai perbezaan dan terdapat elemen kejutan pada pembukaan, pertengahan dan penutup konsert. Kami memberi jaminan kepada peminat, konsert ini bakal menguji andrenalin secara total dari mula hingga akhir.

“Konsert bakal berlangsung selama dua jam dan kami akan mendendangkan sekitar 20 lagu, termasuk lagu lama dan baharu.
“Apa yang boleh dijanjikan adalah persembahan yang akan membuatkan penonton tidak berganjak walau sedikitpun,” ujarnya.
Penonton bakal dibawa menyusuri perjalanan muzik rock tempatan bersama gabungan dua figura legenda, Muss dan JoBranko, disertai oleh Rozaimi, Ainol dan barisan pemuzik undangan dalam persembahan yang akan berlangsung dua jam.
Sebanyak 20 lagu dijangka dipersembahkan, membawa penonton menyelusuri era 1980-an dan 1990-an melalui segmen khas ‘Retro Akustika’ yang menampilkan gitaris undangan seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan JoBranko sendiri, dengan iringan lapan pemuzik rentetan dalam barisan ‘string octet’.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

