PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menghantar surat tunjuk sebab kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid susulan tindakannya menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara tersebut telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, langkah tersebut dilakukan sebelum sebarang tindakan diambil ke atas Iskandar Dzulkarnain.
“MPT Bersatu juga antara lain membincangkan kedudukan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
“Lembaga Disiplin parti telah pun menghantar surat tunjuk sebab kepada Iskandar Dzulkarnain sebelum sebarang tindakan diambil ke atas beliau mengikut perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain yang juga ahli MPT Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Anwar dalam usaha meringankan beban rakyat di Kuala Kangsar yang berhadapan peningkatan kos sara hidup.
Beliau juga mahu melihat sama ada Perdana Menteri akan menepati janji berhubung peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen.
Hamzah dalam kenyataan kemudiannya mendakwa Iskandar Dzulkarnain telah diugut supaya menyokong kerajaan sekiranya tidak mahu didakwa atas kesalahan rasuah.
Baca artikel berkaitan: Nasib Ahli Parlimen Kuala Kangsar diketahui Khamis ini – Muhyiddin
Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Pembangkang turut mengutuk keras tindakan kerajaan yang didakwa berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi dan ugutan terhadap pemimpin pembangkang.
Beliau juga mempercayai intimidasi dan ugutan itu digunakan bagi mendapat sokongan supaya kerajaan kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.
Sementara itu, Hamzah memaklumkan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dari 23 hingga 25 November depan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam.
Beliau berkata, Jawatankuasa Induk Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pula akan dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Dr Radzi Jidin.
“Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu bermula dengan perasmian sayap-sayap Bersatu pada 23 November diikuti Perhimpunan Agung pada 24 dan 25 November,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

