DUA penjaga pusat jagaan kanak-kanak ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kejadian mendera serta melakukan amang seksual terhadap dua remaja perempuan di Lembah Jaya Selatan, Ampang.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pada petang semalam.
Beliau berkata, dua anak yatim itu telah dibawa oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat setelah menerima makluman dari pihak sekolah.
Katanya, pengadu pertama iaitu seorang perempuan berusia 14 tahun mendakwa telah dimarahi oleh penjaga seorang lelaki warga asing pada Ahad pukul 4 petang.
“Suspek telah bertindak memukul pengadu dengan menggunakan kayu di peha dan menampar pipi pengadu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, pengadu kedua iaitu seorang perempuan berusia 13 tahun mendakwa telah ditarik oleh seorang lelaki Melayu pada Jumaat lalu pukul 1 pagi.
“Ketika berada di bilik butik, suspek telah bertindak mencabul dan merogol pengadu.
“Bagaimanapun tindakan suspek terhalang selepas rakan pengadu masuk ke bilik tersebut,” ujarnya.
Mohd Azam berkata, pihaknya telah menahan dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini di Jalan Sri Kemuning, Lembah Jaya Selatan pada 5 petang semalam.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek warga tempatan mempunyai satu rekod jenayah.
“Siasatan mendapati punca pengadu pertama dipukul disebabkan bermain telefon di dalam bilik”.
Pemeriksaan mendapati pengadu pertama mengalami lebam di tepi sehingga belakang peha kiri serta kesan bengkak di pipi kiri.
Sementara pengadu kedua tidak mengalami sebarang kecederaan lain.
Jelasnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis.
Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) akta kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

