PELAKON Shaheizy Sam akui sedang berusaha sebaik mungkin untuk memboikot semua produk barangan yang menyumbang kepada Israel sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Menurut Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad,41 berkata dia amat teliti dalam membeli barangan kerana tidak mahu menyalurkan wang kepada pihak yang tidak berperikemanusian itu.
“Saya ada senarai syarikat yang menyalurkan dana atau mengambil caj tambahan untuk disalurkan kepada tentera zionis dan saya akan sentiasa update list itu dan kongsikan kepada pengikut saya di Instagram.
“Kerana bagi saya kita selalu terlepas pandang soal ini. Jangan berfikiran hanya kerana anda seorang yang boikot ia tidak memberi sebarang impak.
“Jangan hiraukan orang lain dan fikirkan tentang hati kita, jumlah duit yang kita salurkan itu walaupun sedikit tetap akan memudaratkan,” ujarnya kepada URTV.
Dalam pada itu Sam yang ditemui di tayangan perdana filem Laluna juga sempat berkongsi dia kini lebih tertarik untuk menggunakan produk barangan keluaran tempatan.
“Kalau dulu bangga bila pakai jenama Chanel tapi lepas dapat tahu syarikat itu menyumbangkan sejumlah dana di sana (Israel) terus sakit hati.
“Saya tidak kisah kalau tak pakai barangan mewah dan antarabangsa kerana produk tempatan juga sama hebatnya dan saya akan terus menyokong barangan tempatan,” katanya.
Selain itu, Sam juga sempat meluahkan pandangannya terhadap segelintir artis yang gemar memberikan komen tidak sensitif kepada situasi yang berlaku di Palestin.
Ujar Sam, tidak salah untuk memberi pendapat dan cakna dengan situasi yang berlaku namun jangan sesekali mempersoalkan pertahanan atau tindakan yang dilakukan pihak Hamas atau rakyat Palestin.
“Tidak perlu bercakap atau perlekeh tindakan yang dilakukan mereka kerana kita pun tidak berada di sana.
“Lebih baik diam dan memberikan sokongan kepada mereka kerana itu lebih baik,” tambahnya lagi.
Watak Salihin sentuh hati Sam sebagai bapa
Setelah Polis Evo 3, Sam kembali ke layar pawagam dengan filem Laluna. Sebuah filem komedi, cinta dan sarat dengan mesej ini memaparkan Sam sebagai seorang polis dan ayah kepada seorang anak perempuan berusia 16 tahun.

Menurut Sam filem ini tidak begitu berat dari segi fizikal namun sarat dari segi emosi dan menyentuh hatinya sebagai seorang ayah.
“Sejujurnya filem ini tidak berat jika nak dibandingkan dengan filem aksi sebelum ini namun watak Salihin ini amat dekat sekali dengan jiwa saya sebagai seorang ayah.
“Watak saya buatkan saya terfikir momen saya bersama anak perempuan saya dan memang tersentuh bila teringat yang anak saya akan membesar dan mungkin satu hari nanti akan berkahwin,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sam juga teruja dengan reaksi penonton terhadap filem ini kerana baginya filem ini ialah filem yang ringan namun penuh dengan mesej yang dapat memberikan sedikit sebanyak pengajaran kepada semua.
“Saya sudah biasa dengan watak polis namun kali ini watak polis yang saya bawakan memang berbeza dan saya tidak sabar untuk melihat reaksi penonton terhadap filem ini,” katanya.
Filem arahan M. Raihan Halim ini akan mula ditayangkan di pawagan bermula 9 November ini.
Filem ini turut dibintangi Sharifah Amani, Wan Hanafi Su, Hisyam Hamid, Nadiya Nisaa, Nam Ron, Farah Ahmad, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Wafiy Ilhan.

