SELEBRITI antarabangsa Tan Sri Michelle Yeoh menerima kecaman di ruangan komen Instagramnya selepas ini memuat naik sekeping foto memakai busana berona hitam dari jenama terkenal dunia iaitu Balenciaga.
Menerusi kapsyen hantaran tersebut, Micheal yang turut memenangi Pelakon Wanita Terbaik dalam 95th Academy Awards (Oscars 2023) difahamkan telah dilantik menjadi duta baharu jenama mewah itu.
“Ia adalah satu penghormatan untuk bekerjasama dengan @balenciaga,” tulisnya.
Menurut Michelle lagi, dia menyifatkan fesyen adalah salah satu bentuk seni dan ia bukan sekadar pakaian.
“Fesyen adalah satu bentuk seni. Ia tidak hanya mengenai pakaian, tetapi ekspresi diri.
“Bagaimana anda rasa ketika memakainya dan nilai yang anda letakkan ketika memakainya.
“Ia adalah satu cara untuk berkomunikasi dengan kerja saya,” ujarnya lagi
Tindakan pelakon filem Crazy Rich Asian itu telah membuatkan orang ramai kecewa dan kesal memandangkan jenama berkenaan sendiri pernah mencetuskan kontroversi apabila menggunakan kanak-kanak sebagai model kempen fesyen dan memasukkan elemen BDSM dan seks ganas sebagai konsep bagi sesi fotografinya.
Sementara itu, beberapa dokumen keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat mengenai pornografi kanak-kanak turut digunakan sebagai prop di dalam kempen pengiklanan Musim Bunga/Panas 2023 itu.
Terdahulu, selebriti Kim Kardashian turut menerima komen negatif kerana kembali memperagakan busana dari jenama yang sama, walaupun telah memutuskan kerjasama dengan jenama itu ketika didesak netizen untuk berbuat demikian.

