JENAZAH bekas penyanyi nasyid Inteam, Suhaimi Saad selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Felcra Sungai Ara, Kota Tinggi, Johor pada pukul 9 pagi hari ini.
Kira-kira 200 ahli keluarga, sahabat seperjuangan dan pendudu berdekatan hadir mengiringi jenazah dari rumah ke tanah perkuburan.
Turut berada menyempurnakan pengebumian arwah adalah anak sulung dan anak keduanya, Ehmad Hadie Elfardie, 15, dan Salman Elkhoyri, 13.
Bacaan talkin dan tahlil ringkas dipimpin vokalis Kumpulan Diwani, Hasnol Jamal.
Sebelum itu, jenazah suami kepada Nordiana Mohd Naim atau Ina itu disolatkan sekali lagi di rumah keluarga Ina di Felcra Sungai Ara.
Semalam, Suhaimi Saad, 43, disahkan meninggal dunia pada 7.40 malam di Unit Rawatan Rapi (ICU), HSI akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Suhaimi dimasukkan ke HSI dan ditidurkan sejak Jumaat lalu berikutan keadaan kesihatan merosot selepas batuk teruk sejak Ogos lalu dan mengalami cirit birit.
SUMBER: BERITA HARIAN

