BEKAS ahli kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad, 43, meninggal dunia dalam keadaan tenang di samping isteri dan empat orang anaknya.
Isterinya, Nordiana Mohd Naim, 39, berkata, Allahyarham menghembuskan nafas dalam keadaan mudah malah seorang daripada anaknya sempat mengajarkannya mengucap dua kalimah syahadah.
“Pemergiannya sangat mudah dan tenang di sisi saya dan anak-anak. Pesanan dia minta maaf kepada semua orang sebagaimana yang dia tulis dalam TikTok.
“Arwah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Suhaimi menghembuskan nafas terakhir pada pukul 7.40 malam di Hospital Sultan Ibrahim, Johor Bahru (HSI) dan khabar duka itu dikongsi Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Razin Mestica menerusi akaun Facebook.
Bercerita lanjut, Nordiana atau Ina berkata, sebelum dimasukkan ke HSI tiga hari lalu, arwah terlebih dahulu dimasukkan dan ditidurkan di Hospital Kota Tinggi pada Jumaat.
“Dia ditidurkan atas permintaan arwah sendiri sebagai jalan terakhir. Sebelum ini arwah mula mengalami batuk teruk pada Ogos lalu sebelum kesihatannya bertambah merosot pada Oktober lalu. Berat badan juga turun sehingga 20 kilogram.
“Arwah meninggal pada usia 43 tahun. Masa arwah hidup, dia pernah cakap memang nak usianya hanya sampai 43 tahun. Tarikh lahir dia 12 Oktober dan masa itu dia sudah sakit,” katanya.
Suhaimi berkahwin dengan Ina pada 12 Ogos 2007 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ehmad Hadie Elfardie, 15, Sallman Elkhoyri, 13, Phyrosh Elfadwah, 11, dan Nur Layla Elghufrony, 9.
SUMBER: SINAR HARIAN

