PENYANYI Nabila Razali,31, sah bergelar isteri kepada ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani,38, dengan sekali lafaz pada pukul 10.11 pagi hari ini.
Majlis pernikahan yang diadakan di The Chateau Spa & Wellness Resort, Pahang diadakan secara tertutup dan dihadiri 250 orang termasuk ahli keluarga serta sahabat terdekat pasangan pengantin.
Pasangan sama cantik sama padan itu dinikahkan oleh Ustaz Fawwaz.

Nabila yang juga pelakon itu turut menerima mas kahwin bernilai RM22.50 dan wang hantaran dirahsiakan.
Dalam majlis bertemakan English Wedding itu, Nabila meluahkan rasa syukur selepas perancangan untuk mendirikan rumah tangga akhirnya terlaksana.
Malah, pelantun lagu Peluang Kedua itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan urusan hari bahagianya itu dipermudahkan.

“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi majlis pernikahan berjalan dengan lancar.
“Terima kasih kepada tetamu dan ahli keluarga yang turut menjayakan majlis ini.
“Dan tak lupa kepada peminat atas doa dan sokongan yang diberikan kepada saya dan suami,” katanya.
Majlis meraikan pasangan ini akan diadakan di lokasi sama pada sebelah petang hari ini.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

