PENYANYI Hafiz Suip mendedahkan tindakannya yang mewarnakan rambut dengan warna hijau bagi mempromosikan single terbaharu berjudul Terus Bersinar disifatkan berjaya menarik perhatian orang ramai.
Menurut Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip,33, dia akui kuasa gimik memainkan peranan penting dalam kerjaya anak seni sepertinya.
“Saya tak nafikan saya warnakan rambut dengan warna hijau sebab nak dapatkan tarikan atau orang bercakap tentang diri saya. Orang zaman sekarang saya lihat memang sukakan perkara-perkara sensasi.
“Awal kemunculan saya dulu, memang saya tak aktif di media sosial. Saya hanya ada Facebook dan Instagram saja ketika itu.
“Tapi sekarang ini, akaun TikTok pun saya sudah ada sebab saya sedar semua itu penting untuk pasarkan diri dan kerja kita.
“Lumrah zaman sekarang. Semuanya memerlukan media sosial. Kalau ikutkan, saya boleh saja beritahu pada semua orang yang Hafiz Suip akan lancarkan single baharu tapi respon orang akan kata ‘oh okay Hafiz Suip”…itu saja,” katanya kepada URTV.
Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single Terus Bersinar di Setia Walk, Puchong,semalam.

Sementara itu, Hafiz yang juga juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu sedar dan tahu limitasi dalam menggunakan gimik agar tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.
Malah, jelas Hafiz lagi, warna ramnbut tersebut hanya bertahan selama lima hari sahaja.
“Saya akui ramai yang rasa ‘triggered’ bila saya tampil dengan imej rambut berwarna hijau. Iyalah orang akan kata ‘Eh kenapa dia buat macam ni? Hari tu bukan ke dia ni Islamik?’. Sekarang ni tiba-tiba saya tukar penampilan pula.
“Warna tersebut hanya bertahan lebih kurang lima hari sahaja iaitu sewaktu saya mahu mempromosikan Terus Bersinar.
“Kalau diikutkan dari segi agama memang hukumnya haram tetapi kita bercakap tentang konteks hiburan. Lain lah kalau kita pergi masjid, barulah bercakap tentang hukum agama.
“Saya dilahirkan sebagai penghibur dan inilah cara saya untuk dapatkan publisiti dan kekal relevan. Apa-apa pun saya kena tahu batas dan limitasi bila nak keluar dengan sesesuatu gimik yang mungkin akan berlaku kontroversi. Saya kena tahu apa yang boleh dan tak boleh dibuat,” jelasnya.

Bercakap tentang single Terus Bersinar, Hafiz berkata karya tersebut merupakan ciptaa Mas Dewangga dan Jova Devito manakala lirik ditulis oleh Datuk Arisz Ab Rahman, Mas Dewangga dan Jova Devito.
“Lagu ini masih lagi bergenrekan Balada. Saya kena kekalkan genre sama sebab saya kena tahu citarasa pendengar hari ini.
“Saya tak boleh ikut selera saya bila berkarya sebab pada akhirnya yang akan mendengar nyanyian kita juga ialah peminat.
“Kalau ditelinga saya muzik itu kedengaran sedap tetapi tidak mendapat sambutan baik daripada pendengar, pun tak guna juga.
“Untuk Terus Bersinar ini saya buat sedikit kelainan apabila menyelitkn alat muzik tradsional Sarawak iaitu Sape pada penghujung lagu,” jelasnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

