Kecewa akan sikap segelintir individu yang menganggap isu boikot seakan remeh, penyanyi dan pendakwah bebas, Ustaz Akhil Hayy memohon agar umat Islam di Malaysia agar percaya akan rezeki yang sudah tertulis di Kalam Allah SWT.
Tegasnya, umat Islam perlu ada rasa empati atas apa yang berlaku di Gaza, namun akur isu boikot ini terlalu subjektif kerana ia bergantung kepada tahap keimanan seseorang.
“Isu boikot ini terlalu subjektif kerana ia terletak kepada tahap keimanan masing-masing untuk mendepani suasana boikot. Bagi orang yang beriman, setiap yang berlaku di atas muka bumi ini, Allah sudah jamin rezekinya. Itu tertulis dalam Al-Quran.
“Jadi kita faham syarikat-syarikat ini adalah asbab untuk kita mencari rezeki, namun adakah dengan tutupnya syarikat ini, nasi kerabu atau nasi lemak sudah tidak boleh dijual? Nampak sangat kita sedang dimanipulasi dan didominasi oleh mereka ini.
“Ini yang dikatakan ‘instant gratification’, kepuasan sementara. Tetapi di saat umat Islam dihujani dengan peluru, ada yang terburai perutnya, takkan kita masih nak menyokong syarikat-syarikat ini? Tak ada rasa simpati dan empati. Sudah secara terang-terangan mereka menyatakan sokongan kepada tentera Zionis. Berilah sedikit tekanan dalam masa tertentu,” katanya kepada Wanita.
Akhil bagaimanapun menyatakan boikot perlu disertakan dengan adab dan tidak melulu menuduh mereka yang masih bekerja di bawah syarikat yang menyatakan pendirian menyokong Israel sebagai pro Zionis.
“Dalam masa yang sama nak boikot perlu ada adab sebab kita yakin rezeki dari Allah. Betul jika beras tiada di dapur bagaimana nak hidup sedangkan kita tahu pekerja ini bukannya membantu Isreal. Ini tempat mereka cari makan.
“Saya tahu akan timbul isu susah nak cari pekerjaan lain sekarang. Tapi bukan itu sahaja tempat yang ada, banyak lagi kerja kosong di tempat lain. Antara nak atau tak nak sahaja.
“Boleh boikot atas kapasiti kemampuan masing-masing tetapi perlu ada adab. Janganlah bila tengok ada yang pakai baju pekerja syarikat itu, kita terus menuduh dia pro Israel.
“Buat masa ini, sama-sama kita boikot buat sementara waktu kerana rakyat Gaza dihujani dengan peluru dan bom setiap masa, mereka tiada masa pun untuk berfikir soal makan. Mereka hanya berfikir untuk terus hidup dan apa akan berlaku esok,” tambahnya lagi.

