PADA awal tahun 2008, sepasang bintang kembar seiras telah ditemui di ruang angkasa. Namun setelah kajian dilakukan, saintis mula bingung dengan penemuan ganjil pada pasangan bintang ini.
Ia merupakan sepasang bintang kembar seiras yang mempunyai jisim yang sama, tetapi mempunyai sifat yang tidak serupa – tahap kecerahan, suhu permukaan dan ukur lilit kedua-duanya berbeza.
Secara total, ia tidak kelihatan seperti pasangan bintang kembar seiras. Umpama bayi kembar seiras baru lahir yang memiliki susunan DNA yang sama atau wajah yang serupa, tetapi mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari segi sifatnya seperti seorang berkulit cerah manakala seorang lagi berkulit gelap.
Pasangan bintang kembar ini terletak di Nebula Orion, iaitu kira-kira 1500 tahun cahaya dari bumi. Bintang yang baru berusia satu juta tahun itu masih merupakan bayi bintang jika dibandingkan dengan jangka hayatnya yang boleh mencecah sehingga 50 bilion tahun. Kalau mengikut putaran hidup manusia, ia umpama bayi yang baru berusia satu hari.

Penemuan tersebut sedikit sebanyak dilihat bercanggah dengan hipotesis asal yang dikemukakan oleh saintis tentang proses kelahiran bintang di langit. Mengikut teori jumhur pakar kaji bintang, kelahiran bintang dipercayai bermula daripada kepulan gas hidrogen dan debu angkasa yang membentuk nebula.
Apabila debu dan gas berkumpul, daya gravitinya meningkat, seterusnya menarik lebih banyak debu dan gas sehingga termampat dan membentuk bebola. Daya graviti yang tinggi akan meningkatkan tekanan dan menghasilkan suhu maksimum. Ia menyebabkan nuklear gas hidrogen sebati dan membebaskan helium, haba dan cahaya. Sama ada bintang tunggal atau bintang kembar, konsep kelahirannya adalah sama.
Menurut Robert D. Mathieu dari University of Wisconsin, penemuan bintang kembar seiras tetapi secara fizikalnya tidak sama adalah sesuatu yang baru dalam dunia astronomi. Dalam kes ini, hasil daripada kiraan yang dilakukan, kedua-dua bintang ini mempunyai jisim yang sama iaitu kira-kira 41 peratus jisim matahari.
Robert beranggapan, perkara ini terjadi kerana waktu kelahiran kedua-dua bintang tersebut berbeza. Andaian beliau, salah satu daripadanya terbentuk lebih awal, iaitu kira-kira 500000 tahun sebelum kembarnya ‘lahir’. Ia boleh disamakan dengan konsep ‘equivalent’ dalam proses kelahiran kembar manusia – iaitu kelahiran bayi kembar yang boleh berselang sehingga setengah hari.

Dalam galaksi Bima Sakti sahaja, terdapat lebih kurang 50 peratus bintang kembar atau bintang berganda, yang selebihnya adalah bintang tunggal. Daripada jumlah itu, lebih 70 peratus pula adalah bintang kembar yang tak seiras, manakala 30 peratus lagi adalah bintang kembar seiras.
Bintang kembar yang ditemui di luar angkasa bukan saja berganda dua, malah ada yang lebih daripada itu. Setakat ini, penemuan paling banyak dicatatkan ialah bintang berkembar enam.
Bintang kembar sahaja terbahagi kepada beberapa jenis iaitu bintang gandaan optik, gandaan astrometrik, bintang kembar gerhana dan beberapa lagi.
Dalam kes ini, pengkaji beranggapan ia adalah sesuatu yang berbeza. Pasangan bintang kembar seiras sememangnya mempunyai jisim serta sifat fizikal yang sama. Begitulah sebaliknya bagi pasangan bintang kembar tak seiras.
Namun, apabila bintang kembar mempunyai jisim yang sama tetapi sifatnya pula berbeza, belum ada jawapan pasti yang boleh dikemukakan mengenainya.
Teori yang paling hampir ialah bintang tersebut merupakan pasangan kembar seiras, tetapi sedang melalui proses gerhana ketika mengorbit laluan masing-masing.
Apabila proses orbit berlaku, salah satu bintang akan kelihatan berbeza daripada pasangannya. Ia adalah disebabkan jarak keduanya dari pandangan bumi adalah berbeza. Namun, ia hanya sekadar teori.
Satu lagi hipotesis yang boleh dikaitkan dengan penemuan ini ialah berkemungkinan bintang tersebut hanyalah gandaan optik. Ini bermaksud, bintang tersebut adalah bintang tunggal, tetapi pandangan daripada bumi seolah-olah menampakkan salah satu daripada taburan bintang lain seakan-akan menyerupai pasangannya. Padahal, proses orbit kedua-dua bintang ini langsung tiada kaitan.
Berdasarkan teori bintang gandaan optik ini, berkemungkinan jisim kedua-dua bintang adalah sama, walaupun mempunyai tahap kecerahan, suhu permukaan dan saiz yang berbeza. Bagaimanapun, teori-teori tersebut hanyalah sekadar pandangan pengkaji. Setakat ini, tiada jawapan yang pasti mengenai penemuan ini. Manusia hanya mampu mengeluarkan hipotesis dan teori, tetapi yang lebih mengetahuinya adalah maha pencipta.

______
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

