Misteri pembunuhan Lord Erroll

Dari Penulis

Sewaktu zaman perang dunia kedua, beberapa kes pembunuhan yang berlaku di tanah kolonial British telah menarik perhatian masyarakat Inggeris. Di sebalik itu, ada juga yang mengaitkannya dengan agenda Hitler. Namun, ia dianggap cerita yang tidak mempunyai asas.

Salah satunya kes pembunuhan Lord Erroll di Kenya, timur benua Afrika yang menjadi misteri menyelubungi komuniti pegawai dagang British. Tragedi pembunuhan itu menimbulkan pelbagai tanda tanya. Ada yang mengaitkan kematian aristokrat Josslyn Hay yang digelar Lord Erroll ini mempunyai kaitan dengan perisikan tentera Jerman. Namun jauh daripada itu, ada pula pendapat yang mengatakan kematian Earl of Errol yang ke-22 itu berhubung kait dengan gaya hidupnya yang suka berfoya-foya.

Mengikut latar belakangnya, Josslyn Hay adalah bangsawan Scotland daripada keturunan Earl of Errrol. Dia mewarisi gelaran Lord dan dianggap sebagai seseorang yang mulia dalam komuniti bangsa Inggeris.

Pada usia 17 tahun, dia telah dibuang daerah ke Kenya. Kemudian pada tahun 1930-an dia telah berkahwin dengan seorang wanita keturunan Kenya dan dikurniakan seorang anak. Isterinya meninggal dunia pada tahun 1938 akibat ketagihan arak.

Josslyn Hay @ Lord Erroll

Sepanjang menetap di Kenya, dia sering menjadi masalah kepada golongan lelaki kaya dan terhormat di wilayah Happy Valley. Malah dikatakan semua lelaki di kawasan itu bimbang dengan kehebatannya menggoda perempuan. Ini ditambah pula dengan tabiatnya yang suka meniduri isteri-isteri orang kenamaan. Justeru dia dimusuhi ramai lelaki yang menggelarnya kaki perempuan.

Pada bulan November 1940, Sir Henry Delves Broughton bersama isterinya Diana Cardwell telah datang menetap di Happy Valley. Kedatangan Sir Henry yang lebih mesra dipanggil Sir Jock oleh komuniti pegawai dagang British di Kenya membuatkan Josslyn Hay menaruh harapan untuk menggoda isteri Lord ini. Hay sentiasa mencari peluang untuk menunjukkan kehebatannya menggoda wanita. Ini kerana Diana merupakan seorang wanita yang gemar mencari populariti dan sukakan hiburan gaya mewah.

Memandangkan Delves tidak menggemari cara hidup sebegitu, Diana kemudiannya memohon perceraian kerana suaminya itu lebih berminat pada ladang dan juga kuda berbanding dirinya yang sukakan cara hidup yang meriah dan moden.

Henry Delves dan Diana.

Perceraian antara Delves dan Diana membuka peluang Hay untuk mendekati wanita kaya ini. Ini kerana selepas bercerai, Delves membayar kos sara hidup Diana sebanyak lima ribu paun sterling sebagai ganti rugi perceraian. Wang tersebut membolehkan Diana menjalankan perniagaan bar di Happy Valley. Bar tersebut dinamakan Mayfair Cocktail Bar.

Bagi memenuhi tuntutan sosial, Diana gemar menghabiskan masa di Muthiaga Country Club. Rumah kelab ini memang terkenal di kalangan orang-orang British yang menetap di situ. Dan di situlah dia mengenali Josslyn Hay.

Kehandalan Hay menggoda menjerat Diana ke kamar asmara. Hal itu disedari Delves namun dia tidak boleh berbuat apa-apa kerana Diana bukan lagi isterinya. Bagi menyatakan kemarahannya terhadap perbuatan Diana, Delves telah menghentikan elaun sara hidup Diana. Keadaan itu tidak menyebabkan Diana terkesan kerana dia memiliki pendapatan yang baik daripada kegiatan perniagaan bar miliknya.

Pada 23 Januari 1941, Delves menjemput Hay bersama Diana ke satu majlis makan malam perpisahan di Muthiaga Club. Majlis makan malam itu juga kononnya untuk mengucapkan selamat berbahagia kepada Diana dan Hay. Delves turut menjemput rakannya, June Carberry.

Selepas majlis makan malam itu selesai, Hay dan Diana melanjutkan pertemuan itu dengan berkunjung ke pesta tarian. Kira-kira pukul 2:30 pagi pada 24 Januari, Hay telah menghantar Diana pulang dan menemaninya sampai ke laman rumah. Itulah kali terakhir Hay dilihat masih hidup.

Sejam setengah kemudian, mayat Hay ditemui dalam keretanya tidak jauh daripada rumah Diana. Mayatnya telah dijumpai orang awam yang lalu di kawasan itu. Mereka kemudiannya memanggil polis pada jam 8:00 pagi.

Mayat Hay @ Lord Erroll ini ditemui di dalam keretanya.

Seorang ahli patologi bernama Geoffrey Timms telah dipanggil ke tempat kejadian. Hasil pemeriksaannya mendapati Lord Erroll itu telah mati ditembak dengan pistol jenis 32 berdasarkan kesan peluru pada kepalanya.

Superintenden Arthur Poppy kemudiannya menyabitkan Delves sebagai pembunuhnya atas motif dendam dan cemburu, tambahan pula pihak polis turut menjumpai pistol jenis yang sama di rumah ladang miliknya.

Pada 10 Mac 1941, Delves ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan membunuh. Perbicaraan berlangsung selama dua bulan dan kes itu begitu sukar sekali kerana Delves mempunyai saksi yang menunjukkan dia tidak melakukan pembunuhan itu. Kenyataan yang dibuat oleh June Carberry telah menyelamatkan Delves. Menurut keterangan Carberry, pada malam kejadian, Delves ada menemaninya di rumah agam miliknya.

Kerana bukti yang tidak cukup, Delves kemudiannya dibebaskan daripada tuduhan pada Julai 1941. Tekanan yang diterima menyebabkannya berpindah dan pulang semula ke England. Lebih kurang setahun selepas tragedi pembunuhan Lord Erroll, Delves  telah membunuh diri dengan menyuntik dadah berlebihan.

Bagaimanapun, Delves dikatakan telah membuat pengakuan dia yang membunuh Hay atau Lord Erroll ke 22 itu. Pun begitu, pelbagai teori dikaitkan bagaimana pembunuhan itu dilakukan dan ia terus menjadi tanda tanya dan perbahasan. Apa yang pasti, pembunuh Lord Erroll tidak berjaya diberkas dan dihukum.

Kisah pembunuhan ini turut menjadi ilham ramai penulis dan sebuah filem berjudul White Mischief yang diterbitkan pada 1987 diilhamkan daripada kejadian ini.

Antara buku berdasarkan kisah pembunuhan Lord Erroll.
Filem yang diilhamkan berasarkan pembunuhan ini.

________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

“Saya bukan main jin!” Tok Dewata bongkar rahsia seni persembahan ‘Main Teri’

Nama Tok Dewata kembali menjadi bualan hangat apabila seni persembahan Main Teri yang melibatkan beliau tular di media sosial.  Namun...

More Articles Like This