AMAN Palestin Berhad (Aman Palestin) mengakui misi bantuan kemanusiaan ke Palestin terjejas susulan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun pertubuhan amal itu.
Namun begitu, Pengurusan Besar Pemasaran Aman Palestin, Muhd Farhan Muhd Fadhil seperti dilaporkan BH Online memaklumkan, pihaknya masih menunggu penjelasan rasmi dan lengkap daripada SPRM.
Pada masa sama, beliau berkata, peguam Aman Palestin akan turut mendapatkan maklumat daripada SPRM.
Katanya, ini kerana kenyataan dikeluarkan SPRM dilihat bersifat umum.
“Beberapa individu daripada Aman Palestin dipanggil SPRM untuk memberi keterangan dan mereka sudah berbuat demikian.
“Kami memberi kerjasama penuh terhadap siasatan SPRM, doakan untuk kami,” katanya.
Terdahulu, SPRM dalam kenyataan memaklumkan telah membekukan sebanyak 41 akaun bank Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain dengan jumlah keseluruhan RM15.87 juta.
Ia susulan dakwaan ketidakaturan dalam aktiviti pengumpulan derma oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut untuk rakyat Palestin.
Baca artikel lain: SPRM beku 41 akaun Aman Palestin lebih RM15 juta
Menurut SPRM, hasil siasatan awal telah mengenalpasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.
Sebelum ini, Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin menerusi surat bertarikh 24 Ogos lalu meminta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) agar tidak membenarkan kutipan Tabung Aman Palestin dilaksanakan di premis agama Islam di negeri itu.
Beliau menyatakan keraguan terhadap pengumpulan dan pengagihan dana oleh Aman Palestin dan menuntut lebih banyak ketelusan dalam perkara tersebut.
Oleh itu, pihak berkuasa agama negeri itu menangguhkan pengumpulan dana oleh Aman Palestin di Perlis bermula 12 Okt lalu sehingga siasatan selesai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini memaklumkan pegawai forensiknya sedang meneliti dokumen (kewangan) yang diperoleh daripada Aman Palestin dari 2020 hingga 2022.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

