Pengerusi, CEO Aman Palestin didakwa 164 pertuduhan pecah amanah, tipu dan pengubahan wang haram RM39.5 juta

Auzaee Athallah
Auzaee Athallah
Penulis merupakan Pengarang Multimedia/wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lima tahun dalam dunia kewartawanan. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2023, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat penyiaran/portal lain sejak tahun 2021. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama mahkamah, jenayah dan politik.

Dari Penulis

TIGA individu termasuk Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 164 pertuduhan pecah amanah, menipu dan pengubahan wang haram berjumlah RM39.5 juta.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh iaitu Pengerusi Eksekutif Aman Palestin, Abdullah Zaik Abd Rahman, 58; Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin, Awang Suffian Awang Piut, 52; dan seorang pengarah syarikat pelaburan Khairudin Mohd Ali, 49, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Bagi kesalahan pecah amanah, Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing didakwa atas 52 pertuduhan sebagai Pengarah Samudra Champa Sdn Bhd (Samudra Champa) yang diamanahkan dengan harta milik Aman Palestin iaitu wang RM20,946,498.80.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta berkenaan di sebuah bank di Bandar Baru Bangi, antara 12 Mac 2018 dan 3 November 2023.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dipenjara antara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga didakwa secara bersama bagi 19 pertuduhan menipu iaitu dengan curangnya memperdayakan Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin untuk menyerahkan wang RM39,150,000 kepada syarikat sama.

Kesalahan itu dilakukan bagi pembelian emas sedangkan harga pembeliannya lebih rendah iaitu RM33,399,970 yang mana Lembaga Pemegang Amanah Aman Palestin Berhad tidak akan menyerahkan wang jika tidak diperdayakan sedemikian oleh kedua-dua tertuduh.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Aman Palestin di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, antara 24 September 2021 dan 14 Julai 2023, mengikut Seksyen 420 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, sebat dan denda.

Abdullah Zaik dan Awang Suffian juga masing-masing berdepan 19 pertuduhan sebagai pengarah syarikat terbabit menggunakan hasil daripada aktiviti haram iaitu wang RM12,833,772.16.

Kesalahan itu dilakukan sebagai bayaran bagi pembelian sebuah rumah, rumah kedai, lot tanah, lot kedai, kilang pejabat berkembar dan sebuah kereta Toyata Vellfire bagi pihak Samudra Champa.

Sementara itu, Khairudin sebagai pengarah syarikat sama didakwa atas tiga tuduhan menggunakan hasil aktiviti haram membabitkan wang RM6,038,016.60 sebagai bayaran bagi pembelian lot kedai, rumah kedai dan kilang pejabat berkembar.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa bank di Bandar Baru Bangi dan Kajang, antara 1 Jun 2018 dan 3 Mei 2023.

Pendakwaan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) dibaca bersama Seksyen 87(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Akram Gharib, Wirna Rifin @ Arifin dan Nurul Atiqah Mohamad Alias serta pegawai pendakwa SPRM, Fatin Farhana Ismail, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Siti Mardhiyyah Zamani.

Mahkamah kemudian membenarkan Abdullah Zaik dan Awang Suffian masing-masing diikat jamin bon RM1 juta dengan seorang penjamin yang mana RM500,000 daripada jumlah wang jaminan itu didepositkan pada hari ini sementara baki akan didepositkan sebelum atau pada 13 Mac depan.

Manakala Khairuddin dibenarkan jaminan dengan bon sebanyak 200,000 dengan seorang penjamin.

Ketiga-tiga tertuduh itu juga diarahkan agar menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai sebagai syarat tambahan jaminan.

Mahkmah menetapkan 13 Mac depan sebagai sebutan semula kes.

Sebelum ini pada 8 Januari lalu media melaporkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa pihaknya menumpukan siasatan ke atas Aman Palestin berhubung wang yang dibelanjakan oleh pertubuhan itu termasuk perbelanjaan penubuhan beberapa syarikat.

Tambahnya, siasatan turut dilakukan berhubung pelaburan jongkong emas oleh Aman Palestin dan penerimaan wang yang didakwa sudah diagihkan kepada penerima bantuan di bebapa negara termasuk Palestin dan Syria.

Terdahulu pada November lepas, SPRM mengesahkan bahwa pihaknya telab membeku 41 akaun milik Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat.

Tindakan itu susulan siasatan ke atas pertubuhan amal itu yang didakwa menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai sejak 17 Oktober 2023.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This