PEREKA fesyen terkenal, Datuk Jovian Mandagie mengesahkan sudah bercerai dengan anak kepada bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Nina Sabrina sejak Ogos lalu.
Pengumuman tersebut dikongsikan Jovian menerusi hantaran di Instagram miliknya sebentar tadi.
“Ada sesetengah perkahwinan dicipta istimewa dan untuk kekal seumur hidup, tapi perkahwinan kami berkembang menjadi persahabatan yang kekal seumur.
“Pada Ogos lalu, kami bersetuju mengakhiri perkahwinan yang berusia 10 tahun kerana kami percaya itu adalah jalan terbaik,” tulisnya.
Menurut Jovian, biarpun bukan lagi pasangan suami isteri namun hubungan mereka masih lagi baik demi membesarkan anak perempuan, Jeanelle Nika Mandagie yang berusia enam tahun.
Tambah Jovian lagi, hubungan sebagai teman baik bersama Nina itu turut mewujudkan perasaan berbeza.
“Kami dapati sebagai sahabat dan ibu bapa Jeanelle, kami berkongsi rasa cinta berbeza yang harus dihargai.
“Memandangkan kebahagian Jeanelle adalah kebahagian kami, jadi kami sudah lakukan yang baik. Alhamdulillah.
“Rasa kasih sayang kami kepada ibu bapa dan keluarga tak pernah berubah. Kami percaya Allah adalah sebaik-baik perancang.
“Selepas beberapa dekad, anda menjadi sebahagian draipada perjalanan kami, kami sentiasa ingat kenangan itu. Sokongan anda kepada #Jovianina tidak ternilai dan kami berharap sokongan itu akan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Jovian menjelaskan tujuan dia memberitahu status rumah tangganya dengan Nina selepas menerima lambakan komen positif daripada pengikut mereka ketika membuat siaran langsung bersama di TikTok malam tadi.
Justeru, Jovian berasakan ini adalah masa terbaik untuk dia menjelaskan perkara sebenar.
“Semalam, kami adakan sesi secara langsung di TikTok dan tertarik dengan komen-komen pengikut mengenai kami sebagai pasangan suami isteri.
“Kami rasa adalah penting untuk kami kongsikan dengan anda semua.
“Biarpun berita ini tidak dijangka, percayalah kami dalam keadaan yang baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, Jovian turut menjelaskan semua hantaran yang dikongsikan di media sosial sejak empat bulan lalu bukanlah sekadar ciptaan semata-mata.
“Apa juga yang anda saksikan di media sosial sejak empat bulan lalu adalah benda yang nyata.
“Kami tidak mungkin akan membenci antara satu sama lain memandangkan kami pernah berkongsi hidup selama hampir sedekad.
“Terima kasih untuk doa dan sokongan anda untuk babak baharu kehidupan kami ini,” tulisnya.
Untuk rekod, Jovian dan Nina Sabrina berkahwin pada 11 Disember 2013.

