DATUK Seri Anwar Ibrahim menegaskan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan terpakai kepada dirinya terlebih dahulu.
“Ia bermula dengan saya. Saya tidak akan membuat undang-undang untuk orang lain. Undang-undang itu mesti terpakai kepada saya dahulu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Kampung Seri Cheeding hari ini.
Beliau mengulas sama ada had yang dicadangkan itu akan berkuat kuasa serta-merta atau pada masa akan datang, Anwar berkata, ia bertujuan menetapkan tempoh maksimum 10 tahun bagi jawatan Perdana Menteri.
“Sesiapa yang ingin berkhidmat kepada negara dengan ikhlas akan mendapati 10 tahun adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.
“Selepas itu, jawatan itu wajar dibuka kepada rakan-rakan lain untuk meneruskan khidmat,” katanya.
Baca artikel lain: UtusanTV tiada kaitan dengan mana-mana portal, syarikat guna nama UTUSAN
Perdana Menteri berkata cadangan itu boleh dipercepatkan dan jika mendapat persetujuan majoriti Ahli Parlimen, ia mungkin diluluskan pada persidangan Parlimen akan datang.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan rang undang-undang untuk memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal akan dibentangkan di Dewan Rakyat Isnin ini.
Azalina berkata bacaan kali kedua bagi kedua-dua rang undang-undang itu dijadualkan pada minggu berikutnya.
Pada 31 Januari lalu, kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Azalina berkata ia adalah satu langkah penting untuk memperkukuh akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berasaskan Perlembagaan di bawah agenda reformasi institusi kerajaan MADANI.
Anwar sebelum ini dalam Amanat Tahun Baharu 2026 pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata rang undang-undang untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan sebagai sebahagian daripada langkah reformasi institusi yang dilaksanakan kerajaan.
Beliau berkata langkah itu adalah sebahagian daripada hala tuju bagi sesi Parlimen tahun ini.
Satu sesi perundingan awam yang dijalankan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang mendapati sokongan yang kukuh terhadap cadangan berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) bahagian itu, Datuk S Punitha, berkata kajian itu mengumpulkan maklum balas daripada 3,722 peserta melalui tinjauan awam selama seminggu.
Keputusan menunjukkan 89.9 peratus bersetuju dengan prinsip mengehadkan tempoh jawatan, 8.27 peratus tidak bersetuju dan 1.75 peratus tidak pasti.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

