PENYANYI Datuk Nora Ariffin meluahkan rasa syukur kerana masih diberikan peluang kedua selepas bertarung nyawa akibat berlaku kesilapan teknikal di hospital yang menyebabkan paru-parunya dipenuhi air.
Nora, 50, ketika ditemui di sidang media Pelancaran Pes Kerutuk dan Pes Serbaguna Secukup Rasa by Nora berkata, apa yang berlaku kepadanya itu menjadi pengajaran agar merujuk ke tempat yang tepat sekiranya berdepan masalah kesihatan.
“Asalnya, saya hanya demam dan kemudian, bila pergi ke klinik untuk membuat pemeriksaan, saya disyaki dijangkiti denggi.
“Saya kemudiannya ke hospital dan dimasukkan air. Mungkin berlaku masalah teknikal sehingga menyebabkan berlakunya air berlebihan (overdrip).
“Disebabkan itu, paru-paru saya penuh dengan air dan jadi seperti lemas, sekaligus tak dapat bernafas. Mungkin ada kesilapan daripada pihak hospital kerana doktor pun manusia. Yang penting, saya nak sihat. Bila pindah ke hospital lain, saya dijaga oleh tiga pakar.
“Saya dipindahkan ke hospital lain dan dijaga oleh tiga pakar. Selepas apa yang berlaku, saya jadi lebih beringat sekiranya ada apa-apa berlaku, pergi ke tempat yang betul,” katanya kepada URTV.

Sementara itu, berkongsi lanjut keadaannya ketika dipindahkan ke Unit Rawata Rapi (ICU), penyanyi lagu Hanya Satu itu berkata, dia reda dijemput Ilahi sekiranya sudah tiba masanya.
“Saya cakap kepada diri saya, kalau sudah tiba masanya (meninggal dunia), saya reda. Saya bertaubat, mengucap, minta keredaan suami. Mata pun dah nampak putih sahaja waktu itu.
“Suami ada di sebelah saya dan saya berpesan kepadanya supaya menjaga anak-anak saya. Masa itu, dada saya memang sakit,” ujarnya.
Jelasnya lagi, sewaktu di ICU, doktor membuang lebihan cecair dalam paru-parunya dan dirinya tidak sedarkan diri selama dua hari.
“Kemudian, saya dimasukkan ke ICU dan air berlebihan itu dibuang. Doktor cakap, saya kena serangan jantung kecil.
“Tapi, bukan disebabkan oleh kegagalan jantung, sebaliknya kerana air berlebihan itu.
“Saya bukan ditidurkan tapi tak sedarkan diri selama dua hari sepanjang tiga hari di ICU.
“Rawatan susulan memang ada sebab doktor nak pantau keadaan kesihatan saya. Alhamdulillah, lebih kurang seminggu selepas itu, semuanya kembali normal,” kongsinya.
Nora juga berkongsi rasa penghargaan dan bersyukur kerana dikurniakan suami, Dr Rushdi Ramli dan anak-anaknya yang banyak berkorban sepanjang dia ditahan di hospital.
“Saya lebih hargai keluarga. Sepanjang 11 hari berada di hospital, saya nampak pengorbanan anak-anak dan suami terutamanya.
“Dia siapkan anak dan hantar ke sekolah. Dengan jadual kerjanya yang perlu mengajar lagi.
“Jadi, saya kena bersemangat dan sentiasa berfikir untuk cepat sihat sebab saya nak kembali ke rumah. Bila dah dapat balik ke rumah, rasa lega,” katanya.
Terdahulu, Nora dimasukkan ke hospital pada 13 November selepas mengadu sakit di bahawa perut kiri sebelum diserang sesak nafas.
Bercakap mengenai Secukup Rasa by Nora, katanya idea bagi menghasilkan pes masakan tersebut muncul selepas sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-50, Julai lalu.
“Saya terfikir sampai bila saya nak menyanyi? Saya juga beritahu pada diri sendiri pada usia 50 tahun, saya perlu buat sesuatu.
“Selepas berbincang, saya keluarkan produk pes masakan di bawah jenama Secukup Rasa by Nora.
“Jenama ini sebenarnya dicetuskan oleh arwah suami saya, Johan Nawawi pada 2000. Saya juga sudah daftarkan jenama ini di MyIPO,” kongsinya.
Pes Secukup Rasa by Nora itu boleh di beli menerusi platform e-dagang Shopee dan Instagram dengan harga RM 20 sepaket.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

