KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengenal pasti pembinaan Hospital Hang Tuah Jaya di Durian Tunggal sebagai keperluan mendesak bagi menangani masalah kesesakan kritikal yang semakin membelenggu Hospital Melaka.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kapasiti Hospital Melaka yang terhad, kekangan pembangunan fizikal kerana status bangunan warisan serta pertambahan penduduk berusia menjadi antara faktor utama yang mendorong pembinaan hospital baharu itu.
Beliau berkata, Hospital Melaka ketika ini hanya mempunyai 1,143 katil dan berdepan tekanan peningkatan permintaan perkhidmatan kesihatan.
“Bagi menguraikan isu kesesakan kritikal di Hospital Melaka, pembinaan sebuah hospital baharu kini menjadi keperluan yang amat mendesak.
“Unjuran Melaka sebagai negeri menua juga menuntut penyediaan fasiliti kesihatan moden yang mempunyai keupayaan lebih tinggi,” katanya selepas meninjau tapak cadangan projek Hospital Hang Tuah Jaya di Mukim Durian Tunggal, hari ini.
Menurut beliau, hospital baharu itu akan dibina di atas tanah milik KKM seluas 59.8 ekar dan dilengkapi 400 katil.
Katanya, projek berkenaan bukan sekadar menambah kapasiti katil, malah bakal melengkapkan ekosistem rawatan kesihatan negeri secara menyeluruh.
“Lokasinya yang dirancang bersebelahan Pusat Rehabilitasi PERKESO akan memperkukuh perkhidmatan rawatan pasca-akut serta meningkatkan aksesibiliti pesakit.
“Ia juga akan membantu mengurangkan tekanan terhadap Hospital Melaka yang kini berdepan kadar penggunaan yang tinggi,” katanya.
Dzulkefly berkata, Hospital Hang Tuah Jaya turut dirancang sebagai Centre of Excellence (CoE) pertama di Melaka serta hab kepakaran terawal di Selatan Semenanjung.
Beliau berkata, antara perkhidmatan utama yang bakal ditawarkan ialah kardiologi, kardiotorasik, bedah saraf dan Ambulatory Care Centre (ACC).
Menurutnya, kemudahan berteknologi tinggi itu penting bagi memastikan pesakit menerima rawatan dalam tempoh kritikal atau ‘golden hour’, khususnya bagi kes kecemasan yang memerlukan intervensi segera.
“Hospital ini akan mengurangkan kebergantungan kepada hospital rujukan lain seperti Hospital Serdang dan Institut Jantung Negara (IJN) yang sebelum ini menerima banyak kes dari Melaka.
“Pesakit akan mendapat akses lebih cepat kepada rawatan kepakaran tanpa perlu dirujuk jauh ke luar negeri,” katanya.
Beliau berkata, projek itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur kesihatan awam yang selari dengan keperluan semasa rakyat.
“Kerajaan MADANI bertekad memperkukuh ekuiti kesihatan melalui pembentukan ekosistem penjagaan yang lebih manusiawi, adil dan saksama demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

