PELAKON era 1980-an, Datin Maria Arshad yang dilaporkan berada dalam keadaan separuh sedar dan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sejak pagi semalam, kini telah berada dalam keadaan stabil serta sudah boleh bercakap.
Memetik laporan Kosmo! Online , berita gembira itu telah dimaklumkan sendiri menantunya iaitu pelakon dan penyampai radio, Sharifah Syahirah.
“Alhamdulillah mama sekarang stabil dan sudah menunjukkan respons. Dia sudah boleh bercakap dan berbual.
“Selera makan pun sudah ada. Cuma mama masih dalam pemantauan doktor sebab bacaan garam dalam badan masih rendah,” ujarnya.
Berikutan sakit belakang yang dialami pelakon veteran berusia 64 tahun itu, Shiera memaklumkan ibu mentuanya kini tidak lagi mengalami rasa sakit dan kejang seperti sebelumnya.
“Sakit belakang bila saya tanya sakit lagi tak? Mama cakap tak sakit dah. Mama pun sudah boleh tersenyum.
“Terima kasih pada semua yang mendoakan kesihatan mama sehingga berlaku keajaiban,” katanya bersyukur.
Dalam pada itu, Shiera turut memberitahu doktor belum lagi melakukan ujian imbasan MRI seperti yang dicadangkan semalam kerana menunggu keadaannya betul-betul kuat dan stabil.
Semalam, pelakon yang pernah membintangi filem Langit Tidak Selalu Cerah itu dikejarkan ke sebuah hospital swasta selepas mengalami kekejangan pada badan sehingga berada dalam keadaan separuh sedar.

