JIKA dahulu pempengaruh media sosial sering dilabel sekadar mengejar sensasi dan ‘likes’, senario itu kini mula berubah.
Menerusi visi baharu yang digerakkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Asia, Datuk Abd Rahman Soltan, golongan pencipta kandungan kini dipersiapkan untuk mendominasi industri hiburan arus perdana, sekali gus mengukuhkan kewangan peribadi mereka.

Melihat kepada potensi luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda di platform digital, Abd Rahman menegaskan komitmennya untuk memastikan setiap populariti yang diraih dapat diterjemahkan kepada bentuk pendapatan yang stabil dan mempunyai jaminan masa depan.
“Fokus utama kami pada tahun ini adalah untuk melahirkan kelompok pempengaruh yang bijak menjana pendapatan jangka panjang, dan bukan hanya sekadar mengejar populariti kosong di media sosial.
“Melalui program inisiatif IPP, kita mendidik mereka cara untuk mengkomersialkan pengaruh yang ada demi membina kelangsungan kerjaya yang lebih kukuh,” katanya.
Dia berkongsi visi tersebut ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang berlangsung meriah baru-baru ini.
Menariknya, majlis yang menghimpunkan hampir 100 pempengaruh popular tanah air itu mengangkat tema legenda muzik pop dunia, mendiang Michael Jackson.

Penampilan serta gaya fesyen era Michael Jackson yang dihidupkan semula pada malam tersebut bukan sekadar suka-suka.
Mengulas mengenai pemilihan tema unik itu, Abd Rahman menyifatkan ikon tersebut sebagai penanda aras kepada keabadian sesebuah karya seni.
“Pemilihan Raja Pop ini dibuat kerana beliau merupakan simbol legasi yang agung.
“Walaupun jasadnya sudah tiada, karyanya membuktikan bahawa seni yang berimpak tinggi akan terus malar segar dan menambat hati generasi baharu merentas peredaran zaman,” ujarnya.
Malam penuh glamor itu turut disemarakkan dengan persembahan bertenaga daripada penyanyi Agy, serta gandingan mantap trio pempengaruh iaitu Imranul Effendy, Izlann Iskandar, dan Boi Baek.
Antara rakan selebriti media sosial lain yang turut hadir memeriahkan majlis termasuklah Puteri Sari, Reyzal Yazmi, dan Puspagomen.
Bakal Terbit Filem & Mini Siri Khas
Dalam perkembangan kerjaya seni, Abd Rahman turut mendedahkan perancangan besar pihaknya untuk terus memacu portfolio anak-anak didiknya.
Kejayaan beberapa nama seperti Imranul Effendy dan Harissa Adlynn yang kini mula melangkah jauh ke set penggambaran membuktikan platform digital adalah batu loncatan yang sangat berkesan.
Bagi merealisasikan impian tersebut secara skala besar, dia menyatakan pasukannya kini sedang sibuk merangka projek penerbitan khas.
“Melihat kejayaan anak-anak didik kami melangkah masuk ke bidang lakonan adalah satu kepuasan yang tidak terhingga.
“Oleh itu, kami kini dalam fasa perancangan untuk menerbitkan naskhah berbentuk mini siri dan filem yang bakal mengangkat bakat lakonan pempengaruh tempatan secara eksklusif.
“Matlamat kami sangat jelas. Kami mahu melahirkan lebih ramai pelapis seni yang bukan sahaja gah di alam maya, tetapi juga mampu berdiri sebagai anak wayang dan usahawan serba boleh di dunia realiti,” tambahnya lagi.
Melalui pendekatan proaktif ini, landskap industri hiburan tanah air dijangka akan menerima suntikan nafas baharu dengan kehadiran bakat-bakat segar.
Mereka bukan sahaja disokong oleh jutaan pengikut, malah bakal dilengkapkan dengan asas seni dan kelangsungan perniagaan yang mapan.

