CUTI persekolahan boleh menjadi sesuatu yang indah kepada mana-mana keluarga atau boleh juga menjadi suatu igauan buruk. Bagi keluarga yang telah merancangnya secara bijak, cuti sekolah kali ini akan menjadi sebuah kenangan terindah.
Tetapi kepada mereka yang gagal memikirkannya secara terperinci, ia akan menjadi sesuatu yang akan mereka kesalkan. Oleh itu, perkara pertama adalah ibu bapa mesti berbincang dengan anak-anak untuk membuat peraturan khas sepanjang cuti sekolah ini.
Setiap waktu percutian hendaklah diisikan dengan aktiviti yang bermakna dan membawa faedah. Pastikan juga waktu yang terluang tidak dihabiskan begitu sahaja dengan menonton televisyen atau bermain komputer sepanjang hari.
Jadi ini aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah bagi mencipta memori bersama anak-anak.
Pergi Bercuti!
Ini adalah pilihan terbaik jika anda mempunyai masa dan wang. ‘Menghilangkan diri’ buat sementara daripada kehidupan anda yang sibuk adalah langkah yang terbaik. Tahniah jika anda telah membuat persiapan awal. Anda sebenarnya telah lama merasai ‘keseronokan’ percutian, iaitu tatkala anda sekeluarga menunggu-nunggu tibanya hari tersebut. Tetapi kepada yang masih memikirkannya, anda masih mempunyai waktu. Hubungi hotel-hotel atau layari Internet untuk mencari ‘last-minute hotel deals’ atau pakej percutian menarik.

Piknik
Jika anda tidak mampu untuk bercuti, cubalah berkelah. Cari satu lokasi menarik seperti pantai, taman bunga atau taman rimba. Contohnya jika anda berada di Lembah Klang antara lokasi yang sesuai adalah Port Dickson, FRIM, Templer Park atau Sungai Congkak. Sediakan sedikit juadah. Untuk lebih menyeronokkan, ajaklah ahli-ahli keluarga, rakan-rakan atau jiran-jiran untuk turut serta.

Aktiviti Famili Pada Hujung Minggu
Inilah masanya untuk anda sekeluarga melawat tempat-tempat menarik yang masih belum atau tidak kunjungi sebelum ini. Lakukan aktiviti-aktiviti yang disediakan di sana. Jika anda ke Putrajaya atau Bukit Cahaya, anda boleh menyewa basikal dan nikmati udara segar sambil bersenam bersama keluarga.

Lawatan Sehari
Cari satu lokasi unik dan menarik yang anda boleh pergi dan balik dalam masa sehari memandu. Anda sekeluarga tidak memerlukan apa-apa itenirari atau agenda; namun anda mampu menikmati pemandangan, makanan dan suasana santai yang menceriakan.

Perkhemahan Atau Glamping
Bagi yang lebih menggemari aktiviti-aktiviti luaran yang lasak, anda boleh membawa bersama-sama peralatan perkhemahan. Ini adalah masa terbaik untuk bergabung dengan alam semula jadi. Ajaklah rakan-rakan yang mempunyai minat yang sama. Anjurkan aktiviti-aktiviti seperti unggun api, hiburan dan permainan. Jangan lupa membawa makanan dan peralatan barbeku.

Bawa Anak-anak dan Rakan Mereka Berjalan-jalan
Jika tinggal di bandar, gembirakanlah anak-anak anda dengan membawa mereka keluar bersama-sama rakan. Antara aktiviti yang mereka gemari ialah boling, menonton wayang dan pelbagai aktiviti lain yang sesuai dengan umur mereka. Biarkan mereka makan bersama-sama sambil menikmati masa bersama-sama rakan.

‘Movie night’
Anda mempunyai sebuah sistem teater di rumah? Inilah masanya untuk memaksimumkan penggunaannya. Beli filem-filem menarik di SmartTV anda dan tontonnya bersama-sama keluarga. Sediakan juga juadah dan minuman ringan untuk lebih memeriahkan suasana.

Games Night
Selain menonton filem, anda sekeluarga juga mengalami keseronokan yang hebat dengan mengadakan permainan bersama anak-anak. Terdapat banyak permainan yang sesuai seperti ‘charade’, lukis-dan-menang, Scrabbles, Monopoly, catur, dan bermacam lagi. Bahagikan ahli keluarga dalam bentuk Kumpulan seperti ibu bapa melawan anak-anak atau lelaki melawan wanita. Jadikan ia lebih kompetitif – mereka yang kalah hendaklah menyediakan sarapan pagi kepada si pemenang!

Anjurkan Sebuah Pesta
Ini boleh jadi sebuah pesta hari jadi atau pesta ‘Tanpa Sebab’. Izinkan anak-anak anda menjemput rakan-rakan mereka. Sediakan pelbagai juadah dan juga permainan untuk mereka. Biarkan mereka bergembira sepuas hati sambil menikmati layanan mesra anda.

Bermalam Dengan Rakan Atau Saudara-mara
Selepas pesta tersebut, rakan-rakan atau saudara-mara boleh bermalam di rumah anda, dengan kebenaran ibu bapa masing-masing. Longgarkan buat seketika beberapa peraturan di rumah anda, seperti lanjutkan sedikit waktu tidur. Pastinya mereka akan berterima kasih di atas keprihatinan anda.
Itulah dia beberapa idea menarik yang boleh dipraktikkan sepanjang cuti hujung tahun ini. Ia bukan sahaja menyeronokkan, malah mampu membuatkan anak-anak anda meningkatkan kemahiran bersosial dan menjadi seorang yang lebih baik.
Sebagai bonus, anda sekeluarga akan menikmati ikatan jalinan kekeluargaan baik di samping mencipta memori terindah yang bakal dikenang seumur hidup!

