DANAU Singkarak, merupakan sebuah tasik yang terbentang luas di daerah Sumatera Barat di Indonesia. Keluasan danau ini mencapai 107.8 kilometer persegi dan merupakan yang kedua terluas di pulau Sumatera selepas Danau Toba.
Panjang danau ini menjangkau sehingga 20 kilometer dan lebar hampir 7 kilometer dengan kedalaman sehingga 268 meter. Danau Singkarak terbentuk kerana proses pergerakan dan perubahan struktur topografi yang terhasil dari canggaan kerak bumi ratusan tahun lalu akibat gempa bumi.
Mastika pernah berkunjung ke sini dan singgah minum di sebuah gerai yang mendepani pemandangan indah danau ini yang dikelilingi bukit bukau. Sempat kami berbual dengan beberapa orang penduduk sekitar yang mesra melayani pertanyaan kami. Kata mereka, danau ini indah. Tetapi, awas! Sampai masanya, danau ini akan menagih korban.

“Tidak tahu benar atau kebetulan, tapi sampai waktunya, danau ini akan tagih nyawa. Pasti ada yang jadi korban. Selalunya ada yang menyebut, sekali dalam empat tahun, pasti danau ini akan menarik mangsanya. Berapa jumlahnya, itu tidak tentu,” ujar Niko, pemuda yang menjadi jurupandu kami.
Tidak tahu benar atau tidak, kerana menurut pemuda ini, boleh dikatakan setiap tahun akan ada kedengaran orang lemas di danau ini. Sama ada yang lemas semasa berenang, mahupun yang kemalangan semasa menaiki bot atau ketika beriadah di danau ini.
Dia juga menceritakan pernah berlaku sebuah kenderaan yang sarat membawa penumpang jatuh ke dalam danau ini sewaktu melaluinya. Ada yang mengaitkan insiden itu kerana kecuaian pemandunya yang mengantuk. Tetapi penduduk sekitar danau ini percaya ada sesuatu yang membuat ‘penghuni’ di situ marah hingga akhirnya terjadi kemalangan yang meragut nyawa.
Anehnya, apabila pasukan keselamatan menyelam untuk mencari mayat, tidak ditemui mangsa yang lemas. Hanya selepas mendapat bantuan bomoh yang berunding dengan ‘penghuni’ di situ, barulah akhirnya mayat yang lemas timbul.
“Mengikut cerita, penyelam sudah berulang kali mencari di kawasan itu tapi tidak ada mayat. Hanya selepas dijalankan rundingan, barulah mayat itu ditemui di kawasan sama yang mereka cari. Memang aneh tapi itulah misteri danau ini,” ujar Niko.

Dikatakan juga, kebanyakan mangsa yang lemas adalah penduduk luar. Kononnya, Danau Singkarak tidak akan meragut nyawa penduduk di situ. Sebab itu kadangkala ada penduduk yang berpesan pada orang luar yang berenang di situ agar minum air danau ini terlebih dahulu.
“Minum air danau ini, jadi anda sudah tergolong sebagai penduduk Singkarak. Maka danau ini tidak akan menelan anda kerana ia hanya mengambil korban orang luar. Begitulah kepercayaannya,” kata salah seorang penduduk yang berbual dengan kami.
Apa yang pasti, penduduk asal di sini percaya, mereka harus mengelakkan daripada mandi di danau ini apabila tiba hari yang disebut sebagai ‘dua kali khutbah’.
Bermakna, apabila tiba hari Jumaat yang juga jatuhnya hari raya Aidilfitri, di mana akan ada dua kali khutbah dalam sehari itu (khutbah raya dan khutbah Jumaat), maka anak-anak dinasihatkan agar jangan bermandi manda di danau ini.
Jika amaran itu tidak diendahkan, maka kecelakaan buruk akan berlaku. Mengikut kepercayaan, hari Jumaat di mana berlaku dua kali khutbah, ketika itu ‘penduduk’ di danau itu juga sedang berpesta. Maka, kehadiran manusia akan mengganggu keramaian mereka.
Diceritakan sekitar tahun 1970-an dahulu, pada hari Jumaat yang juga jatuhnya hari raya Aidilfitri, berlaku insiden apabila sebuah bot yang membawa pelancong mengelilingi danau ini terbalik, mengorbankan kesemua 12 orang penumpangnya yang merupakan pengunjung luar.
Mayat mangsa tidak ditemui walau sudah berhari-hari pasukan penyelamat menyelam untuk mencarinya. Hanya setelah mendapatkan bantuan alternatif dan melakukan beberapa ritual, barulah akhirnya mayat mangsa timbul. Kononnya, makhluk di danau itu marah apabila bot itu melintasi kawasan mereka ketika mereka sedang berpesta.

Selain itu, danau ini juga popular dengan kisah terowong misteri. Kononnya, ada satu terowong bawah tanah yang menghubungkan Danau Singkarak ke Danau Maninjau, yang jarak antara dua danau ini lebih kurang 100 kilometer dan mengambil masa hampir 3 jam perjalanan menaiki kenderaan.
Turut diceritakan kepada kami satu insiden di mana seorang pemancing terjatuh ke dalam danau ini. Penduduk yang mencarinya menyangka dia sudah lemas. Tetapi beberapa hari kemudian, pemancing itu ditemui di lokasi yang jaraknya tiga jam perjalanan dari lokasi dia hilang. Katanya, dia dibawa berjalan ke tempat yang indah sebelum tahu-tahu bila tersedar, dia sudah berada di lokasi lain.
Begitu juga dengan kisah adanya tinggalan sejarah zaman dahulu yang terbenam di danau ini. Kisah kewujudan ‘Tangga Batu Bersurat’ di dasar danau itu sudah diperkatakan sejak dahulu lagi.
Dikatakan ada tangga batu yang telah tenggelam di danau ini yang mempunyai kaitan dengan sejarah zaman pemerintahan pada abad ke-15, atau mungkin lebih lama sebelum itu. Berkemungkinan ia tenggelam kerana gempa bumi yang berlaku zaman dahulu.
Sama ada benar wujud tinggalan sejarah zaman dulu yang terbenam dan dikaitkan dengan terowong misteri di dasar Danau Singkarak ini, jawapannya terus kekal misteri kerana belum ada kajian mendalam dan pencarian besar-besaran dilakukan bagi membuktikannya.
Apa yang pasti, penduduk di sekitar danau ini memang akan sentiasa memberi amaran agar berhati-hati. Pemandangan danau amat mendamaikan namun ia boleh jadi membahayakan, tanpa disedari.

___________
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

