KERAJAAN digesa melakukan rombakan menyeluruh melibatkan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) supaya jabatan itu diterajui oleh individu yang lebih kompeten.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menegaskan, imej J-KOM semakin merudum susulan kontroversi melibatkan bekas Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dengan kakitangannya, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani, baru-baru ini.
Pada masa sama, beliau turut menyelar langkah Timbalan Ketua Pengarah J-KOM, Datuk Ismail Yusop yang membuat pendedahan tentang ‘Langkah Dubai’ bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.
Menurut Mohd Puad, J-KOM sepatutnya memberi tumpuan kepada naratif ‘kerajaan tebuk atap’ tidak akan tercapai.
Malah, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu berkata analisis Ismail mengenai Langkah Dubai itu sebagai cetek.
“Apa keperluan Timbalan KP (Ketua Pengarah) J-KOM mainkan isu ‘Langkah Dubai’ ? Kata Premier Sarawak, cerita Langkah Dubai adalah cerita ‘paloi’ (bodoh).
“Lebih sesuai J-Kom fokus naratif “kerajaan tebuk atap” musibah dan tidak akan tercapai. (Datuk Seri) Ahmad Maslan kata “fatamorgana” (khayalan).
“Ia mengakibatkan kerajaan pula jadi defensif kerana beberapa nama dalam kerajaan disebut.
“Maka amat wajar J-KOM dirombak secara menyeluruh, rebranding total dan dipimpin oleh mereka yang lebih kompeten,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Baca artikel lain: ‘Langkah Dubai’ wujud, bukan rekaan – Zahid Hamidi
Sebelum ini, Ismail dilaporkan, mendakwa wujud satu gerakan yang sedang dirancang bagi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didalangi pemimpin parti pembangkang bersama wakil kerajaan.
Ismail mendakwa, rancangan digelar sebagai ‘Langkah Dubai’ timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN), termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota UAE, baru-baru ini.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan gerakan itu sememangnya wujud dan bukan rekaan semata-mata.
Menurut Ahmad Zahid, beliau telah mendapat maklumat mengenai gerakan tersebut dari sumber risikan.
Mengejutkan, kata beliau, gerakan tersebut bukan saja didalangi pemimpin parti pembangkang tetapi turut disertai beberapa individu dalam blok kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

