MALAYSIA dan Rusia meneroka kerjasama strategik baharu dalam sektor tenaga, termasuk usaha memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga dan minyak jangka panjang bagi memastikan kestabilan bekalan negara.
Perkara itu antara fokus utama pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, yang turut membincangkan pelbagai aspek hubungan dua hala melibatkan sektor strategik kedua-dua negara.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan memaklumkan kedua-dua pemimpin menghargai kesediaan Rusia untuk menjalin kerjasama jangka panjang dalam aspek bekalan tenaga dan minyak, selain memperluaskan hubungan ekonomi yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut kenyataan itu, perbincangan turut menyentuh peluang memperkukuh kerjasama dalam bidang teknologi baharu termasuk keselamatan siber, digital, kecerdasan buatan (AI), pertanian moden dan farmaseutikal.
“Kedua-dua pemimpin juga bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama dalam sektor-sektor berimpak tinggi yang mampu meningkatkan daya saing ekonomi dan pembangunan teknologi negara,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia dan Rusia turut membincangkan usaha memudah cara pergerakan rakyat melalui pemansuhan visa, di samping meneroka mekanisme bagi memperluas perdagangan serta pelaburan dua hala menggunakan mata wang tempatan iaitu Ringgit dan Ruble.
PMO memaklumkan, Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah strategik dan proaktif bagi memperkukuh keterjaminan tenaga negara menerusi kerjasama antarabangsa yang mampu menjamin kestabilan, kesinambungan dan daya tahan bekalan tenaga.
Jelas PMO, langkah itu dilihat penting dalam mendepani ketidaktentuan pasaran tenaga global, selain memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

