PENYANYI Noh Salleh memberitahu anak angkatnya, Musa sudah diserahkan kepada bekas isterinya iaitu Mizz Nina pada Sabtu lalu.
Noh atau nama penuhnya Mohamad Noh Salleh,39, dia terpaksa akur dan reda menyerahkan Musa selepas aktivis kemanusiaan itu hadir ke rumahnya bersama surat perintah interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah.
“Terima kasih buat mereka yang mendoakan agar masa depan Musa terjamin harmoni. Buat pengetahuan umum, temu bual bersama Melodi dijalankan pada 13 Januari lalu (Sabtu) pada jam lebih kurang 2.45 petang.
“Namun, malam semalam (kelmarin), pada jam kira-kira 8.30 malam, Mizz Nina hadir ke rumah saya bersama suami, anggota polis dan beberapa orang lain yang tidak dikenali untuk mengambil Musa daripada jagaan saya dengan perintah interim (perintah jagaan sementara) dari Mahkamah Syariah sebelum sesi mediasi di mahkamah.
“Saya faham dan bagi menghormati perintah mahkamah, saya dengan terpaksa dan berat hati menyerahkan Musa dan akan meminta nasihat peguam saya. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa hancurnya hati saya,” katanya.
Pada masa sama, Noh memberitahu ketika menyerahkan Musa, tiada adegan perebutan yang berlaku malah ia berlaku dengan baik.
Justeru, penyanyi Angin Kencang itu memohon semua pihak tidak mensensasikan situasinya ketika ini.
“Tiada sebarang insiden perebutan berlaku kerana saya masih percaya dengan jalan perdamaian dan apa yang penting adalah kesihatan mental dan fizikal Musa.
“Saya berharap kenyataan ini jelas dan tiada sebarang spekulasi daripada mana-mana pihak dan saya berterima kasih atas segala doa kalian,” ujarnya.
Ketika ditemu ramah program Melodi, Noh tampil membidas dakwaan yang menuduh terlibat dengan penculikan anak angkatnya seperti yang tular di media sosial pada 2 Januari lalu.
Disember lalu, Noh pernah meluahkan rasa rindu terhadap Musa menerusi perkongsian di Instagram.
Noh dan Mizz Nina atau nama sebenar, Shazrina Azman, 44, mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan tidak dikurniakan zuriat.
Pada September lalu, Noh bernikah dengan Fatin Athira Mustapa.
Manakala, Mizz Nina pula mendirikan rumah tangga dengan penyanyi rap dan penulis lirik berketurunan Maghribi dari Seattle, Amerika Syarikat (AS), Essam Muhammad pada suku kedua tahun lalu.

