Kurang sambutan, festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 ditunda pada 29 & 30 November – “Kurangnya sokongan jejas kelangsungan inisiatif muzik tempatan”

Dari Penulis

Festival Aku. Muzik & Kamu Indie 2025 (AMK Indie 2025) secara rasmi mengumumkan perubahan tarikh kepada 29 dan 30 November 2025 di Sepang International Circuit.  Sebelum ini, festival muzik itu dijadualkan berlangsung pada 26 dan 27 Julai ini.

Keputusan itu dibuat kerana sambutan daripada khalayak tempatan terhadap industri muzik lokal masih rendah dan tidak mencapai sasaran yang diperlukan untuk menjayakan festival ini mengikut standard yang diharapkan.

Menurut penganjur bersama, Westzone Entertainment, situasi ini mencerminkan cabaran sebenar dalam usaha membina ruang untuk muzik tempatan, termasuk mendapatkan sokongan sewajarnya daripada orang ramai.

“AMK Indie 2025 dibina untuk meraikan muzik kita sendiri. Tetapi realitinya, sambutan terhadap inisiatif ini masih belum mencukupi. Kurangnya sokongan terhadap artis lokal memberi kesan besar kepada jualan tiket, dan akhirnya menjejaskan kelangsungan festival ini.

“Kami tidak batalkan. Kami hanya ubah tarikh. Sebab kami masih percaya dengan potensi muzik alternatif tempatan, dan kami tahu masih ada komuniti yang nak lihat scene ini terus hidup.

Tapi realitinya, kami berdepan dengan banyak cabaran termasuk persaingan daripada konsert berskala besar lain dan ruang promosi yang terhad. Bila tengok semula, kami tahu festival ini memerlukan lebih masa untuk capai orang yang betul, tarik sokongan yang mencukupi, dan beri pengalaman yang kami sendiri bangga nak persembahkan. Jadi kami putuskan untuk alih tarikh, bukan kerana kami menyerah, tetapi kerana kami ingin menganjurkan festival ini dengan sebaik mungkin,” kata Aiman selaku Pengarah Westzone Entertainment.

Walaupun festival ini berpindah ke tarikh baharu, barisan persembahan 21 band indie Malaysia kekal tidak berubah. Pihak penganjur komited untuk menjadikan AMK Indie 2025 satu pengalaman yang lebih mantap dan bermakna buat semua yang hadir pada tarikh baharu nanti.

Penukaran tarikh ini juga menyerlahkan satu hakikat yang lebih besar, bahawa penganjuran festival muzik tempatan bukan sahaja mencabar, malah hampir mustahil tanpa sokongan menyeluruh. Kesan daripada situasi ini tidak hanya dirasai oleh pihak penganjur, tetapi turut menjejaskan artis, kru produksi, dan penyedia tempat yang semuanya memainkan peranan dalam menjayakan sesebuah acara.

Namun pada akhirnya, kelangsungan hidup atau matinya sebuah festival muzik sangat bergantung kepada sokongan daripada peminat tempatan. Tanpa komitmen yang sebenar, khususnya dalam bentuk kehadiran dan pembelian tiket, usaha seperti AMK Indie 2025 tidak mampu bertahan.

Tiket yang telah dibeli akan kekal sah untuk tarikh baharu, dan versi tiket yang dikemas kini akan dikeluarkan kepada semua pembeli menjelang tarikh acara.

Sementara itu, harga tiket kekal seperti asal, serendah RM80, tanpa sebarang kenaikan. Setiap pembelian bukan sekadar akses ke festival, tetapi satu pelaburan dalam masa depan muzik alternatif Malaysia.

Barisan artis

Hari Pertama – 29 November
SYJ | CROMOK | MONOSTERIO | 6IXTH SENSE | PLAGUE OF HAPPINESS | METALASIA | ONE BUCK SHORT | DEJA VOODOO SPELLS | SOG | PATRIOTS | ABOI

Hari Kedua – 30 November
MEET UNCLE HUSSAIN |EMPTY PAGE |BUTTERFINGERS | HUJAN | SEVEN COLLAR THSIRT | SALAMMUSIK | KYOTO PROTOCOL | MIDNIGHT FUSIC | GERHANA SKACINTA | MONOLOQUE


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Saya tak kejar populariti, cukuplah lagu saya menggamit memori…,” – Jamal Abdillah bicara soal gelaran Biduan Negara

MENGHAMPIRI lima dekad mendaki puncak populariti dalam industri muzik tanah air, nama Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah, tidak...

More Articles Like This