Konsert Siti Nurhaliza akan tetap diteruskan pada 9 Mac demi kutipan dana untuk Palestin

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

KONSERT Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan tetap diteruskan mengikut tarikh yang telah ditetapkan pada 9 Mac ini.

Yayasan Nurjiwa selaku penganjur dengan penuh keinsafan dan berlapang dada menerima gesaan dan teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor agar Datuk Seri Siti Nurhaliza menunda konsert berkenaan.

“Sejak mula diberikan tarikh penganjuran konsert oleh pengurusan Perbadanan Stadium Nasional, kami di Yayasan Nurjiwa dan pihak Siti Nurhaliza sedia maklum tarikh 9 Mac menghampiri 1 Ramadan.

“Kami juga telah diberitahu oleh pengurusan Perbadanan Stadium bahawa 9 Mac sahaja tarikh kosong yang ada untuk sepanjang 2024 yang boleh ditawarkan kepada kami.

“Untuk pengetahuan semua, pihak kami sudah mula membuat tempahan dengan Perbadanan Stadium Nasional sejak awal 2023 lagi, namun tarikh yang sepatutnya tidak dapat kami laksanakan dan mohon penangguhan dengan mendapatkan tarikh baharu,” ujar kenyataan yang dikeluarkan kepada pihak media.

Namun, memahami matlamat dan objektif utama penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza membuatkan Yayasan Nurjiwa mencapai keputusan secara konsesus untuk meneruskannya.

“Izinkan kami untuk sekali lagi menjelaskan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza bukan dianjurkan atas kepentingan perniagaan dan keuntungan. Yayasan Nurjiwa adalah sebuah badan amal yang ditubuhkan sejak 2006.

“Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza telah sering menyebut tujuan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza adalah untuk mengutip dana bagi menampung lima kluster kerja-kerja kebajikan seperti kebajikan, kemanusiaan, keagamaan, pendidikan dan bantuan khas Palestin,” ujarnya.

Kesemua kluster berkenaan menjadi keutamaan Yayasan Nurjiwa dan bagi meneruskan kerja-kerja kebajikan itu, ia memerlukan dana yang mencukupi.

“Segala hasil kutipan tiket daripada pementasan Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza akan disalurkan ke lima-lima kluster berkenaan.

“Dalam masa sama, Yayasan Nurjiwa akan meneruskan kerja-kerja kebajikan lain seperti tradisinya setiap kali kehadiran bulan Ramadan dan Syawal dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Inilah matlamat yang kami ingin lakukan memandangkan selepas konsert, bulan Ramadan dan Syawal adalah bulan aktif bagi aktiviti amal yang telah kami lakukan sebelum ini.

“Justeru, matlamat penganjuran Konsert Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza ini sangat jelas untuk berkongsi rezeki dan sekali gus amat diyakini akan mengurangkan beban penderitaan sesetengah golongan termasuk saudara-saudara kita di Palestin. 

“Kami juga mempunyai program khas sedekah Nur Muhammad yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf dan kurang berkemampuan,” jelas pengasas Yayasan Nurjiwa, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. 

Bertitik tolak daripada matlamat itu juga, Yayasan Nurjiwa terfikir ada baiknya pementasan konsert tersebut diteruskan.

“Jika mahu diawalkan pula, sudah tentu tiada keupayaan memandangkan tiada slot kosong yang boleh diberikan Perbadanan Stadum Nasional kepada kami.

“Kalau buat 10 Mac, sudah hampir Ramadan. Kalau 8 Mac pula ia adalah hari terakhir raptai untuk konsert itu.

“Ini saya dan team sudah fikir masak-masak. Sudah cuba untuk pertimbangkan, jadi tak mungkin tambah hari,” memetik kenyataan Siti Nurhaliza pada 8 Januari semasa sidang media.

Dalam pada itu,, Yayasan Nurjiwa ingin jelaskan sekali lagi, penundaan konsert itu akan memberikan implikasi yang besar pada banyak  pihak khususnya di pihak produksi serta pengurusan stadium.

“Apa yang kami gusarkan sekiranya penundaan konsert dibuat, maka dana yang sewajarnya tidak disaluran dalam kadar segera kepada golongan yang sudah dikenal pasti sebagai penerima terutamanya mangsa perang di Palestin.

“Kita tidak mampu untuk menunda bekalan makanan dan bahan asas untuk saudara-saudara kita di Palestin. 

“Komitmen kami kepada mangsa-mangsa perang di Palestin perlu diteruskan sejak kami memulakannya pada Oktober lalu. 

“Terlewat sehari dua saja boleh mengundang malapetaka lain buat mereka. Oleh itu, Yayasan Nurjiwa berpendapat, ada baiknya konsert diteruskan demi untuk mencari dana,” katanya lagi.

Terdahulu, Wan Salim menyarankan Siti Nurhaliza menunda konsert solonya kerana menganggap mengadakan aktiviti hiburan menjelang Ramadan seolah-olah melalaikan umat Islam daripada mengingati Allah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Setahun derita autoimun hingga berat badan ceah 46kg, Andi Bernadee akhirnya buka mulut punca ‘sembunyi’ diri

TEKA-TEKI mengenai imej misteri penyanyi dan pelakon popular, Andi Bernadee yang dilihat 'berselubung' setiap kali berada di ruang awam...

More Articles Like This