Legasi tiada tandingan, Siti Nurhaliza kembali takluk Spotify EQUAL, titip pesan buat bakat muda – “Jangan kejar viral…,”

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

GELARAN Ikon Muzik Negara sememangnya bukan sekadar omongan kosong buat biduanita tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza. 

Memasuki Mac, beliau sekali lagi membuktikan dominasinya apabila dipilih buat kali kedua sebagai wakil kempen Spotify EQUAL Malaysia dan Singapura.

Pengiktirafan berprestij ini bukan sahaja mengukuhkan profil globalnya, malah menjadi simbol keberadaan suara wanita Asia Tenggara di persada muzik antarabangsa.

Penyertaan kali kedua Siti dalam inisiatif ini mencerminkan pencapaian luar biasa yang melangkaui sempadan usia dan zaman. 

Biarpun industri muzik kini dihujani dengan kemunculan bakat-bakat baharu yang segar, kualiti vokal dan karisma Siti tetap menjadi penanda aras yang sukar digugat.

Mengulas mengenai penghormatan tersebut, penyanyi lagu Jerat Percintaan ini meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga. 

Baginya, pemilihan ini adalah satu manifestasi bahawa karya yang berkualiti akan sentiasa relevan di mana-mana platform, termasuklah dalam era penstriman digital yang serba pantas.

“Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT atas rezeki yang tidak pernah putus ini.

“Terpilih buat kali kedua sebagai wakil Spotify EQUAL merupakan satu penghormatan yang sangat besar buat diri saya. 

“Ini adalah bukti jelas bahawa muzik sebenarnya tidak mengenal batas usia mahupun tempoh masa seseorang artis itu berada dalam industri,” katanya.

Beliau turut melihat pencapaian ini sebagai satu mesej pemerkasaan buat semua anak seni wanita di rantau ini. 

Baginya, kejayaan ini bukan sekadar miliknya secara individu, tetapi merupakan representasi kekuatan suara wanita yang mampu menyatukan peminat dari pelbagai pelosok dunia termasuk Singapura dan Malaysia.

Sebagai figura yang sudah tiga dekad menghuni carta hati peminat, Siti turut mengambil kesempatan ini untuk menitipkan pesanan bermakna buat penyanyi wanita muda atau generasi ‘BBNU’ (Budak Baru Nak Up). 

Dalam dunia yang mengejar angka tontonan dan trending, Siti menekankan kepentingan menjaga integriti seni.

“Kepada adik-adik penyanyi wanita muda, pesanan saya adalah kejarlah kualiti berbanding populariti yang bersifat sementara. 

“Jangan hanya mengejar viral, tetapi kejarlah kualiti dalam berkarya. 

“Membina identiti seni yang unik, mempunyai disiplin yang tinggi dalam menjaga vokal, serta konsistensi adalah kunci utama untuk memastikan anda kekal relevan merentas zaman,” jelasnya.

Beliau juga mengingatkan bahawa biarpun teknologi dan trend sentiasa berubah, asas seni tidak harus dilupakan. 

Artis perlu bijak menyesuaikan diri tanpa mengorbankan identiti asal mereka demi mengikut arus semata-mata.

Pada masa sama, Siti tidak lupa merakamkan penghargaan buat peminat setianya, SitiZoners, yang sentiasa menjadi tulang belakang sepanjang perjalanan kerjayanya. 

Beliau sedar, tanpa sokongan padu mereka, legasi ini tidak mungkin dapat bertahan sehebat sekarang.

“Hargailah setiap peminat anda kerana tanpa sokongan dan doa mereka, kita sebagai anak seni tidak akan berada di mana-mana. 

“Mereka adalah tunjang utama yang memberikan kekuatan untuk saya terus berkarya,” ulasnya.

Pemilihan Siti sebagai wajah Spotify EQUAL Mac 2026 ini bukan sekadar satu lagi trofi dalam simpanannya, tetapi satu inspirasi buat generasi hadapan bahawa bakat yang disertakan dengan disiplin dan kualiti akan sentiasa menemui jalan ke puncak dunia.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Hael Husaini, Akim Ahmad & Aisha Retno barisi panel juri Big Stage musim ke-7!

INDUSTRI hiburan tempatan dijangka menerima satu lagi gelombang kebangkitan apabila program realiti nyanyian paling fenomena, Big Stage, kini kembali...

More Articles Like This