PENGACARA dan pelakon, Uyaina Arshad berkongsi keterujaan selepas diberikan sejumlah duit oleh Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebaik mengetahui dirinya sedang hamil lima bulan.
Kenangan manis itu dirakam ketika Tunku Azizah berkenan mencemar duli ke Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.
Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad,31, menzahirkan rasa kasih dan sayang atas hadiah tersebut.
“Kejadian di Sri Pentas TV3. Menerima kunjungan diraja di Media Prima.
“Tuanku (Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dan Raja Permaisuri Agong sangatlah mesra dan penyayang.
“Raja Permaisuri Agong siap bagi duit untuk bayi lepas dapat tahu yang Uyaina mengandung. Masya-Allah, rezeki bayi. Alhamdulillah,” tulisnya di Instagram.
Uyaina yang juga pengacara Wanita Hari Ini turut memuat naik beberapa keping foto dan video ketika kunjungan pasangan diraja tersebut.
Pada masa sama, Uyaina turut mendoakan agar pasangan diraja kesayangan rakyat Malaysia itu dirahmati dan diberkati.
“Terima kasih Tuanku dan Raja Permaisuri Agong atas kunjungan.
“Semoga dipanjangkan usia dan sentiasa diberkati Allah,” katanya.
Menjengah ke ruangan komen, pengikut Uyaina turut tumpang bahagia dan gembira dengan rezeki anak keduanya yang bakal lahir beberapa bulan lagi itu.
“Bertuah baby dapat rezeki daripada Raja Permaisuri Agong.
“Alhamdulillah, rezeki baby. Kalau aku dapat, memang framekan terus duit tu tanda kenangan daripada Raja Permaisuri Agong.
“Berkeping-keping (duit). Masya-Allah, kena simpan duit tu. Rezeki baby,” komen netizen.

