
LORONG Haji Taib di Chow Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman (JTAR), sinonim dengan nama ‘Belakang Mati’. Pada era 60-an hingga 80-an, ia terkenal sebagai kawasan panas. Sebut sahaja ‘Belakang Mati’, ramai tahu ia adalah lokasi kegiatan maksiat seperti pelacuran, perjudian, dadah dan gangsterisme.
Kerana itu bagi kebanyakan orang, lokasi tersebut dianggap ‘kawasan hitam’ yang perlu dijauhi. Yang tidak ada ‘urusan’, jarang sekali menjejak kaki ke sana.
Itu kisah tiga atau empat dekad lalu. Memetik Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid, kawasan tersebut kini lebih bersih berbanding 20 tahun lalu. Perubahan ini adalah hasil usaha keras dan berterusan polis membanteras jenayah di Chow Kit.
Beliau tidak menafikan masih wujud kegiatan jenayah dan gejala sosial di kawasan berkenaan tetapi kadarnya lebih rendah berbanding dahulu. Justeru secara umumnya kawasan tersebut boleh dianggap lebih bersih.
Aktiviti tidak bermoral berganti dengan aktiviti sihat dan bermanfaat. Ramai peniaga sibuk mengendalikan perniagaan, termasuk jual beli barangan dan aksesori secara runcit atau borong. Perubahan ini sangat positif kerana mampu menghakis imej hitam kawasan itu sejak sekian lama.
Mungkin tidak ramai generasi sekarang tahu ‘Belakang Mati’. Malah mungkin kurang tahu Lorong Haji Taib. Tetapi yang biasa mendengar nama itu akan senyum sinis, menggambarkan tidak menyukai tempat tersebut, walau pun situasai sudah berubah.
Barangkali ini disebabkan persepsi atau stigma yang terpahat dalam minda, baik berdasar pengetahuan sendiri atau cerita yang pernah didengar daripada generasi dahulu. Nampaknya Lorong Haji Taib terkenal kerana sebab yang salah.
Di lokasi ini terdapat satu Jalan Haji Taib dan lima lorong, masing-masing Lorong Haji Taib 1 hingga 5. Jika ‘kawasan hitam’ dalam kamus keselamatan negara bermaksud kawasan aktif komunis, Lorong Haji Taib diberi gelaran tersebut kerana menjadi pusat pelbagai kegiatan tidak bermoral.
Penulis pertama kali mendengar ‘Belakang Mati’ itu apabila menjejakkan kaki ke ibu negara pada awal 70-an. Kawan-kawan sekolah bercerita mengenai kawasan berkenaan untuk pengetahuan penulis sebagai ‘orang baru’ di ibu kota.
Gelaran ‘Belakang Mati’ mungkin kerana kawasan tersebut dianggap ‘penghujung’ atau ‘belakang’ yang tidak ada apa aktiviti, kecuali pelbagai kegiatan jenayah dan tidak bermoral. Hanya mereka yang terlibat dengan aktviti ini menjadikan kawasan belakang itu hidup.
Tentu memalukan kawasan yang dilabel ‘ganas’ itu diberi nama Lorong Haji Taib. Nama individu yang dihormati itu dikaitkan dengan kawasan yang sangat tidak sesuai dengan keperibadiannya.
Apabila nama beliau diabadikan, ia adalah satu perghormatan. Tetapi siapa menduga kawasan itu menjadi tempat kegiatan yang merosakkan nama baik beliau. Oleh itu apabila kawasan itu bertukar putih, ia mengembalikan nama baik beliau.
Untuk rekod, Allahyarham Haji Mohamed Taib Haji Abdul Samad (1858—1925) merupakan salah seorang yang mula membuka perniagaan di ibu kota. Beliau berasal dari Batusangkar, Tanah Datar, Sumatera Barat, Indonesia.
Seorang ahli perniagaan yang berjaya dan kaya, beliau mempunyai hubungan rapat dengan Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad. Harta miliknya termasuk lombong bijih timah, tanah kebun, rumah serta kedai di sekitar Jalan Melayu, Kuala Lumpur. Beliau juga memiliki pusat pembangunan di Kampung Baru.
Haji Taib dikurniakan 10 orang anak, enam lelaki dan empat perempuan. Kerana kehebatan dan kejayaannya itulah namanya diabadikan di Kuala Lumpur yang ketika itu adalah sebahagian negeri Selangor.
Kini pada siang hari, Lorong Haji Taib rancak dengan aktiviti perniagaan runcit dan borong. Terdapat puluhan kedai pemborong di kawasan tersebut yang menyediakan bekalan bahan niaga untuk pembelian secara borong atau runcit.
Operasi niaga bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang setiap hari. Antara barangan niaga merangkumi produk tekstil, permainan, aksesori wanita, kasut, barangan kulit, pakaian terpakai dan pelbagai lagi. Ramai peniaga, terutaka dari Lembah Klang, mendapat bekalan dari sini.
Ini semua adalah tanda kawasan ‘Belakang Mati’ tidak lagi mati, tetapi sentiasa sibuk dan rancak. Namun difahamkan, masih ramai menjauhkan diri dari tempat ini. Peniaga mendakwa, pada sebelah malam, masih wujud kegiatan tidak bermoral.
Kerana itu orang ramai dikatakan takut untuk datang membeli belah atau mengunjungi kawasan berkenaan terutama pada waktu malam. Namun kehadiran Balai Polis Chow Kit membantu meredakan kebimbangan ini.
Diharap pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan terus komited menukar Lorong Haji Taib kepada kawasan benar-benar putih agar menjadi tumpuan ramai serta menjadi daya tarikan pelancong dalam dan luar negara.
Ingatkah konsert percuma penyanyi hebat negara, Allahyarham Sudirman Arshad, di Chow Kit pada 14 Ogos 1986? Lebih 100,000 orang menonton sehingga melimpah di sepanjang Jalan TAR. Chow Kit riuh rendah dengan konsert tersebut. Biarlah semangat ini terus membara, menenggelamkan terus nama ‘Belakang Mati’!
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

