Mengangkat tiga ikon usahawan wanita dalam memperkasa peranan wanita membantu ekonomi negara, Wacana Srikandi sempena Hari Wanita Sedunia bakal memberi inspirasi kepada lebih 1,000 tetamu pada 5 Mac nanti.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Azlina Amran, pemilihan tiga ikon wanita ini sangat bersesuaian dengan tema ‘Memperkasa Wanita, Mengarus Perdana Gender’ kerana kecekalan dan ketabahan mereka dalam mendepani ujian dan cabaran dalam kehidupan.
“Tiga ikon tersebut ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime Malaysia, Aliza Ali; Ketua Pegawai Eksekutif Avenys Malaysia Sdn Bhd, Aleeya Zailan dan penerima Anugerah Inspirasi Pesona Wanita Johor, Masitah Mohd Affandy yang akan terlibat dalam forum bual bicara wanita bertajuk Wanita Inspirasi Ikon Berkualiti pada program itu yang dihoskan oleh Fedtri Yahya.
“Program ini bertujuan untuk menekankan peranan wanita dalam pelbagai bidang dan memberi inspirasi kepada generasi baharu untuk mencapai kejayaan dalam kerjaya dan kehidupan,” katanya dalam sidang akhbar Wacana Srikandi sempena Hari Wanita yang diadakan di SACC, Shah Alam.
Mengulas lanjut, kata Azlina, program ini juga bakal menjadi medium dan platform bagi usahawan wanita dalam aspek ekonomi dan perniagaan di mana mereka diberi peluang membuka gerai jualan sepanjang majlis berlangsung.
“Kami turut membuka peluang buat usahawan wanita mempromosikan barangan jualan dan secara tidak langsung dapat membantu mereka menjana pendapatan. Majlis ini turut mendapat sokongan sepenuhnya daripada Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri,” tambahnya.
Program ini turut menampilkan barisan artis terkemuka seperti Anuar Zain, Ernie Zakri dan Syamel. Tiket boleh didapati di www.myticket.asia.

