Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia kumpul dana melalui nyanyian, beri bantuan kadar segera kepada insan memerlukan

Dari Penulis

Menjalankan inisiatif sendiri dalam mengumpul dana bagi membantu insan yang kurang bernasib baik, bekas penyampai radio, Datuk Syaiful Bahrim atau DJ Pool mewujudkan program muzikal ‘Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia’ yang dibarisi penggiat muzik beraksi setiap hari di beberapa lokasi tumpuan.

Kata DJ Pool yang juga penyandang anugerah penyiar versatile terbaik SERI Angkasa 2005, konsep kutipan yang dilaksanakan cukup mudah. Jumlah dana yang diperoleh setiap hari akan terus disalurkan kepada insan yang memerlukan selepas beberapa sesi soal siasat dijalankan.

“Barisan pemuzik seramai 15 orang akan menyanyi serentak di beberapa lokasi tumpuan setiap hari sepanjang kembara berlangsung dan jumlah kutipan pada hari itu akan disalurkan kepada penerima.

“Sasaran kami untuk membantu 20 individu setiap bulan bergantung kepada keperluan mereka. Setakat ini kami sudah membantu 12 individu yang memerlukan. Kami bukan satu badan untuk menyelesaikan masalah, tugas kami hanya membantu meringankan perjalanan hidup mereka sekadar yang mampu,” tambahnya lagi.

Punya visi menjadi pertubuhan kebajikan kedua terbesar selepas pusat zakat, jelas DJ Pool, misinya jelas, dia mahu menyalurkan bantuan dalam kadar segera tanpa perlu melalui beberapa tapisan kelulusan.

“Program ini pada awalnya dijalankan secara kecil-kecilan dan syukur ia dapat meringankan beban insan yang memerlukan. Dan dengan bantuan beberapa pihak, kami berhasrat menjalankan dalam skala yang lebih besar di bawah Pertubuhan Persahabatan Pengiat Seni selangor atau PERSIS.

“Buat masa ini kami tidak menetapkan sasaran jumlah dana yang bakal terkumpul, namun ianya bergantung kepada keperluan individu yang memerlukan. Kami punya impian untuk menjadi entiti kedua terbesar selepas zakat dalam memberi bantuan segera secara harian atau mingguan, agar mereka mampu menjalani kehidupan dengan lebih baik.

“Bukan menidakkan fungsi zakat, tujuan kami hanya ingin membantu memudahkan dan menyalurkan bantuan dengan kadar segera. Untuk langkah pertama kami akan ke Selatan di Batu Pahat dan Muar,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Kembara Showcase Amal Madani Jiwa Malaysia di Mardhiyyah Hotel & Suites.

Terdahulu, program amal ini turut dinaung dan dirasmikan Mariam Abdul Rashid, wakil rakyat N42 Meru.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

MKDS buka cawangan baharu di Putrajaya

Penyedia perkhidmatan pengurusan berat badan perubatan, Megaklinik Dr Suffian (MKDS) membuka cawangan baharu di IOI Resort City, Putrajaya dalam...

More Articles Like This