SELEBRITI dan aktivis kemanusiaan Mizz Nina, membuat pendedahan bekas suaminya iaitu Noh Salleh mengambil anak angkat mereka bernama Musa tanpa pengetahuannya.
Menurut Nina atau Shazrina Azman,44, Noh mengambil Musa tanpa memberitahunya terlebih dahulu dan lebih perit lagi ketika dia dalam penerbangan ke Tokyo, Jepun atas urusan kerja.
“Musa dibawa keluar dari rumah ketika saya dalam perjalanan ke Tokyo. Selepas mendarat, saya diberitahu Musa sudah dibawa keluar dari rumah oleh pengasuh yang diambil bekerja sepenuh masa.
“Semua ini terjadi ketika saya atas kapal terbang, tanpa keizinan dan pengetahuan saya. Bayangkan perasaan saya ketika mendarat?
“Dari situ, saya terbang pulang ke Kuala Lumpur dan dapat tahu Musa bersama bekas suami.
“Lebih tiga minggu saya tidak tahu di mana Musa berada. Boleh bayangkan anak berusia dua tahun dibawa keluar dari rumah, ia suatu yang memberikan kesan trauma kepada Musa. Saya sangat tertekan dalam tempoh itu,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Jelas Nina, dia merupakan penjagaan sah kepada Musa dan meluahkan perasaan rasa dikhianati tentang insiden tersebut.
Sepanjang tempoh berjauhan dengan Musa, Nina mendakwa dia tidak tahu di mana lokasi anak angkatnya itu selain tiada komunikasi dengan bekas suaminya.
“Saya mengambil Musa sebagai anak angkat sejak dia berusia dua hari. Saya menyusukan Musa.
“Selama dua tahun Musa tidur di atas katil yang sama, hadir ke kelas bersama rakan-rakannya tapi dia diambil ketika saya dalam perjalanan pulang ke KL.
“Sejak itu, saya tak tahu lokasi Musa. Saya juga tidak menerima sebarang gambar dan video selama tiga minggu berkenaan.
“Bekas suami sudah mungkir janji. Dia kata tak tahu akan hal ini sedangkan saya tahu dia memang tahu,” ulasnya.
Justeru, dia terpaksa menggunakan undang-undang bagi melindungi keselamatan Musa.
“Saya sangat risau akan keselamatannya, ibu bapa saya dan semua orang. Ia adalah satu pengkhianatan. Jadi, satu-satu caranya untuk mendapatkan Musa kembali dengan menggunakan saluran undang-undang.
“Kami mempunyai dokumen lengkap dan segala yang berkaitan syariah. Disebabkan itu, saya mendapatkan perintah mahkamah dan Alhamdulillah, saya dapat Musa semula.
“Namun jadi persoalan, mengapa dia (Noh Salleh) tidak mengambil Musa dengan cara betul dan sah di sisi undang-undang.
“Sebab dia tidak mempunyai dokumen lengkap dan memilih cara yang salah dengan merancang serta menunggu saya tidak berada di Malaysia untuk mengambil Musa.
Memanipulasi, merancang dan tidak jujur, tapi tiada siapa tahu semua ini.
“Bagi saya, kesihatan dan keselamatan Musa sangat penting. Sebab ia menyebabkan trauma apabila anak kecil dibawa keluar dari rumah selama lebih tiga minggu. Saya mempunyai hak menjaga Musa mengikut undang-undang,” jelasnya.
Tambah Nina lagi, bekas suaminya tahu bahawa Musa sememangnya di bawah jagaannya.
Dalam pada itu Nina turut menegaskan privasi Musa serta ibu kandungnya terjejas selepas Noh bertindak mendedahkan kepada umum.
“Privasi Musa telah terjejas dan hidupnya tidak akan sama. Bekas suami mendedahkan nama ibu kandung Musa dalam kenyataan permohonan maaf.
“Ia adalah tindakan sensitif. Ibu kandung Musa memohon identitinya tidak dikenali tetapi Noh mendedahkan wajah Musa di media sosial,” katanya.
Selepas bercerai, Nina mendedahkan Noh dengan rela hati menandatangani dokumen undang-undang yang memberi hak sepenuhnya penjagaan Musa kepadanya.
“Lepas bercerai, bekas suami dengan rela hati menandatangani dokumen penyerahan hak sepenuhnya jagaan Musa kepada saya di hadapan pesuruhjaya sumpah.
“Sejak dari itu, bekas suami sudah hilang hak untuk menjadi penjaga Noh. Saya terpaksa bersuara kerana supaya tidak timbul fitnah dan spekulasi tentang isu tersebut.
“Ia bukan sekadar cerita dari sebelah pihak saya saja tetapi ini adalah kebenaran,” ungkapnya.
Terdahulu, ibu kandung Musa menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Noh selepas didakwa melanggar perjanjian untuk tidak mendedahkan wajah Musa.
Noh kemudian tampil dengan perkongsian video yang memohon maaf dan menjelaskan tidak tahu mengenai perjanjian antara bekas isterinya dengan ibu kandung Musa.

