KEDUDUKAN Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus mengemudi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam penggal akan datang disifatkan sangat selesa.
Perkara itu dinyatakan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu seperti dilaporkan Malaysiakini.
Menurut Ahmad Faizal, perkara tersebut dibuktikan dengan sokongan penuh Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu terhadap kepimpinan Muhyiddin.
Sehubungan itu, beliau turut mempersoalkan tindakan sesetengah pihak yang dilihat gemar membawa ‘khabar angin’ melibatkan kedudukan kepimpinan tertinggi Bersatu.
Bekas Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, kepemimpinan Muhyiddin amat diperlukan bagi mengetuai barisan pembangkang secara berwibawa.
“Tanggungjawab Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu sebagai pembangkang yang berwibawa akan lebih menyerlah di bawah kepimpinan Muhyiddin.
“Kenapa suka layan khabar angin? Saya fikir kedudukan beliau (Muhyiddin) sebagai presiden amat selesa dan ini akan membolehkannya mengemudi Bersatu dan PN ke arah kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Baca artikel lain: MPT Bersatu sebulat suara sokong kepimpinan Muhyiddin
Kelmarin, MPT Bersatu bersetuju meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Muhyiddin selaku Presiden parti tersebut.
Ia sekali gus menepis dakwaan kononnya kepimpinan dan ahli akar umbi mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan Bersatu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan memaklumkan, keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas MPT Bersatu.
Beliau berkata, kepimpinan Muhyiddin itu diperlukan bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh tetapi juga bagi tampil lebih kredibel, tegas dan berani.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa sebahagian besar ahli-ahli Parlimen Bersatu mahukan perubahan pucuk pimpinan dengan Hamzah menerajui parti tersebut.
Syed Abu Hussin berkata, Hamzah yang juga Ketua Pembangkang mempunyai potensi besar untuk memimpin parti berkenaan.
Malah, beliau berkata, Hamzah telah bersedia untuk mengemudi Bersatu dan disifatkan mempunyai kemampuan serta kebolehan.
Bagaimanapun, Syed Abu Hussin mendakwa moral sebahagian besar ahli Bersatu jatuh mendadak selepas Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat pusingan U dengan mahu mempertahankan jawatan pada pemilihan parti, tahun ini.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

