PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau pernah memaklumkan kononnya pihak Istana mengarahkan pembubaran Dewan Negeri Johor (DUN).
Sebaliknya, Menteri Besar Johor itu menegaskan, pembubaran DUN dibuat selepas memperoleh titah perkenan Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor, selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.
Beliau berkata, proses berkenaan merupakan tatacara perlembagaan yang perlu dipatuhi dan tidak boleh disalah tafsir sebagai arahan atau campur tangan Institusi Diraja dalam urusan politik.
“Pembubaran DUN tidak boleh dilakukan sesuka hati oleh Menteri Besar. Ia perlu melalui proses yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor dan hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan.
“Saya telah mengadap dan mempersembahkan perkara itu sebelum mengumumkan pembubaran DUN kepada rakyat secara terbuka selepas mendapat perkenan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dakwaan jejaskan imej Institusi Diraja
Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan yang sah boleh mewujudkan persepsi tidak tepat bahawa Institusi Diraja mencampuri urusan serta keputusan politik UMNO Johor.
Menurutnya, walaupun setiap individu berhak meninggalkan parti dan mempunyai pandangan berbeza terhadap kepimpinan, kenyataan yang menyentuh kedudukan Institusi Diraja adalah perkara serius.
Katanya, dakwaan sedemikian berpotensi menyentuh sensitiviti berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R), selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam.
“Amat tidak bertanggungjawab untuk mengaitkan Institusi Diraja dengan pertikaian politik sehingga menimbulkan persepsi yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya.
UMNO Johor buat laporan polis
Sehubungan itu, Onn Hafiz memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan serta tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.
Beliau turut menggesa semua pihak supaya menghormati Institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor.
Katanya, institusi berkenaan tidak seharusnya diperalatkan dalam sebarang pertelingkahan politik kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kestabilan negeri.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

