CAKNA dengan permintaan peminatnya di Malaysia, ‘songbird seberang’ asal Denpasar, Bali, Indonesia, Mahalini Ayu Raharja atau lebih terkenal dengan panggilan Mahalini, kembali ke Kuala Lumpur demi menjayakan konsert ‘LOVECHESTRA MAHALINI LIVE IN KUALA LUMPUR’ malam tadi yang dibawakan khas oleh jenama kosmetik popular Alha Alfa, dan dianjurkan oleh Kharisma Music.
“Terima kasih buat semua yang hadir menyaksikan konsert saya. Kalian ‘are the best,” kata Mahalini, 23 tahun.

Bermula jam 8 malam di ruang hiburan Mega Star Arena Kuala Lumpur dengan bertemakan ‘all-white’, Mahalini membawakan lagu Bawa Dia Kembali sebagai pembuka acara.
Konsert yang bertemakan ‘Lovechestra’ (love + orchestra) turut diserikan dengan iringan kumpulan orkestra seramai 20 orang pemuzik profesional tempatan yang terpilih dengan pengarah muzik khas dari Indonesia iaitu Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan juga Dennis Nusi.

Ternyata, kesemua penonton yang hadir dibuai asyik oleh kemerduan suara yang dimiliki Mahalini selama hampir dua jam dalam menyanyikan hampir 16 buah lagu kesemuanya seperti Sial, Sisa Rasa, Melawan Restu, Bohongi Hati, Kisah Sempurna dan banyak lagi.
Lebih istimewa, kehadiran penyanyi yang juga tunang Mahalini iaitu Rizky Febian membuatkan penonton bersorak riuh apabila dia muncul di pentas menyanyikan bersama lagu-lagu duet seperti Aku Yang Salah, Janji Kita, Satu Tuju dan juga You’re Mine.

Rizky turut mendendangkan lagu Selaras Kata dari album terbaharunya, Berona.
Menurut Ketua Pengarah Eksekutif & Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua pembeli tiket yang hadir memeriahkan konsert.
“Ternyata percaturan Kharisma Music dalam membawakan Mahalini ke Malaysia membuahkan hasil kerana pemilihannya dibuat berdasarkan pencapaian beliau dalam meraih pelbagai anugerah serta pengiktirafan di industri muzik Indonesia dengan jumlah penstriman paling tinggi di Spotify (Indonesia), serta lagu-lagu nyanyian sering menjadi viral di media sosial.
“Buat penggemar muzik live di Malaysia, nantikan pengumuman yang seterusnya dari Kharisma Music,” katanya.
Malam konsert tadi juga turut menjadi malam bertuah bagi salah seorang pembeli tiket yang telah berjaya memenangi hadiah utama cabutan bertuah yang merupakan sebuah kereta, serta pemenang lainnya dengan hadiah-hadiah menarik.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

