PELAKON antarabangsa, Maggie Cheung Ho Yee sanggup membeli insurans untuk setiap inci kulitnya demi membintangi filem aksi komedi, Rob N Roll yang sudah mula ditayangkan sejak 10 Februari lalu.
Maggie berkata, dia tidak pernah membawakan watak seorang pegawai polis dan karakter itu menuntut dia untuk melakukan pelbagai aksi berbahaya yang boleh memberi kecederaan tidak serius kepadanya.
“Ada banyak babak tembakan malah letupan yang saya perlu lakonkan. Jadi saya perlu mengutamakan diri. Jadi tidak salah jika membeli insurans untuk satu badan kan?” katanya sambil ketawa.
Pelakon berusia 54 tahun itu ditemui ketika hadir ke Malaysia bagi mempromosikan filem baharu lakonannya, Ron N Roll yang turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Aaron Kwok dan Gordon Lam.

Maggi bertandang ke sini bagi menggantikan Aaron selepas pelakon lelaki itu mengalami kecederaan dan tidak dibenarkan untuk melakukan rangka promosi filem tersebut di luar negara.
“Saya sangat gembira dan teruja untuk sama-sama mempromosikan filem ini. Saya pernah bekerjasama dengan Gordon di TVB menerusi pelbagai naskhah klasik.
“Dalam pada masa sama, saya menzahirkan kebimbangan dan mengharapkan agar Aaron dapat pulih dengan segera,” ujarnya.
Untuk info, ini merupakan lawatan kedua Maggie Cheung ke Malaysia selepas tujuh tahun. Kali pertama dia ke Malaysia adalah untuk menjalani penggambaran drama bersiri, Eastern Wallstreet pada 2017.
Rob N Roll edaran Mega Film Distributions dengan kerjasama Elepfilm Entertainment, BT Media Space, Meta Live dan Aco Media.
Naskhah berkenaan diterbitkan oleh Er Dongsheng dan diarahkan oleh sutradara, Albert Mak.
Selain Kwok, Cheung dan Lam, filem berkenaan turut menampilkan Simon Yam dan David Chiang, selain penampilan istimewa oleh Lin Xue, Zeng Bitt, Wang Minde, Lu Haipeng dan Wu Dingxin.
Rob N Roll mengisahkan bekas ahli gusti, Mui Lam-tin (Kwok) yang bergelut dengan masalah hidup sehingga membuat keputusan dengan memberanikan diri merentas lautan ke Hong Kong untuk melakukan rompakan besar-besaran.
Bersama rakan-rakannya, Robby (Lam) dan Mo-yung Fai (Richie Ren) yang pekerja sosial rumah jagaan, mereka secara tidak sengaja membentuk pasukan perompak untuk mendapatkan wang.
Rompakan membawa mereka ‘berkenalan’ dengan pegawai polis, Ginger (Cheung) yang nekad mahu menangkap mereka.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

