PELAWAK Ali Puteh meluahkan rasa syukur dan lega akhirnya berjaya mengumpul wang tunai berjumlah RM75,000 hasil daripada jualan barangan peribadinya.
Menurut Ali atau Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan,35, wang tersebut akan digunakan untuk membayar tuntutan saman kepada balu Allahyarham Abam iaitu Nor Hidayah Mohd Ali.
Jelas Ali yang juga anggota kumpulan Puteh itu turut berterima kasih kepada semua yang telah memberikan sokongan dengan membeli sambal jualannya.
“Alhamduillah, terima kasih yang membeli barangan saya. Terima kasih mendoakan saya dan keluarga.
“Moga Allah membalas jasa baik anda semua. Sudah cukup RM75,000!!!,” tulisnya di TikTok.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata ramai tumpang gembira dan memuji semangat Ali yang berusaha untuk mencukupkan wang untuk membayar saman.
Sebelum ini, Ali berjaya menjual tujuh trofi yang pernah dimenangi ketika menyertai program lawak bagi melunaskan hutang kepada kakak iparnya.
Antara trofi yang dijual termasuklah trofi program realiti Maharaja Lawak Mega, Muzikal Lawak Superstar, Projek Komedi Warna dan beberapa lagi.
Malah, beberapa hari lalu, Ali turut berkongsi mengenai dua buah motosikalnya yang turut berjaya dijual antaranya 125ZR dan RXZ.
Selain itu, kereta Honda Accord milik isterinya turut dibeli oleh seorang individu yang tinggal di Johor Bahru.
Untuk info, pada 18 Februari 2022, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur memerintahkan Ali dan tiga ahli keluarganya membayar RM60,000 kepada balu Abam Bocey, Hidayah kerana mengeluarkan kata-kata mengaibkan wanita itu di Instagram, dua tahun lalu

