Kisah gerun di sebalik keindahan kota kering yang jadi rebutan. Orang asal dihalau, dibunuh dan dijadikan hamba

Dari Penulis

Kita mengenali California, Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah negeri yang penuh glamor. Di situlah letaknya Los Angeles dan Hollywood, pusat industri hiburan dunia.

Melalui televisyen, filem, drama serta dokumentari yang dikeluarkannya pula, kita mendapat gambaran bagaimana bumi California penuh dengan kemewahan, hijau, bergemerlapan dan hampir sempurna. Benarkah begitu?

Sebahagiannya, benar. Saya pernah berkunjung ke sini dahulu dan mendapati, memang Califronia sebuah negeri yang indah dan mewah, tetapi mempunyai sejarah latar belakang yang agak menggerunkan.

California merupakan negeri ketiga terbesar di AS selepas Alaska dan Texas. Ia juga negeri yang paling kaya di AS kerana pertumbuhan ekonominya begitu rancak. Pada tahun 2010 misalnya, pendapatan kasar negeri itu adalah USD$1.9 trilion, iaitu 13 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar AS.

Selain daripada pelancongan, perkhidmatan dan perindustrian, sebahagian daripada pendapatan itu datangnya daripada kegiatan ekonomi berasaskan pertanian, khususnya sayur-sayuran, buah-buahan serta bijirin yang begitu makmur di bahagian tengah dan utara. Ini kerana tanah di bahagian tersebut subur. Ia mendapat taburan hujan yang tinggi berserta mineral tanah pergunungan dan hutan hijau yang mengimbangi perubahan cuaca.

Namun ramai yang tidak tahu, sebenarnya sebahagian besar daripada bahagian timur dan selatan California ialah padang pasir. Ia dibahagikan kepada dua, iaitu Padang Pasir Mojave (tinggi) dan Padang Pasir Colorado (rendah). Sebab itu terdapat banyak pokok palma dan kaktus di sepanjang kawasan tersebut.

Menariknya, di kawasan kering inilah berdirinya bandar dan pekan-pekan kecil yang segar dengan gaya hidupnya yang tersendiri. Pekan-pekan kecil ini biasanya terletak di persimpangan jalan-jalan utama. Ia mempunyai beberapa buah stesen minyak dan blok kedai serta kawasan perumahan kecil. Gambaran bentuk pekan-pekan tersebut sering dipaparkan dalam filem, drama serta dokumentari terbitan Hollywood.

Ketika berkereta merentas padang pasir yang luas dari Los Angeles ke Las Vegas di Nevada, kita akan beberapa kali berhenti untuk berehat dan mengisi petrol. Menariknya, di kawasan-kawasan rehat itu sering ditemui penjaja-penjaja keturunan Red Indian menjual barang-barang hiasan daripada manik, batu berharga serta kraf tangan lain.

Penulis (kanan) bersama penjaja keturunan Red Indian.

Kehadiran penjaja Red Indian ini secara tersirat menyimpan cerita sedih yang berlaku kepada nenek moyang mereka. Dahulu, tanah yang tandus itu kepunyaan lebih 70 puak Red Indian. Antara puak-puak itu ialah Mojave, Hupa, Chumash, Mono, Cahuilla, Karuk dan Miwok.

Namun, apabila pengembara dari Portugis sampai ke California sekitar tahun 1542, diikuti oleh Inggeris dan Sepanyol tidak lama kemudian, seterusnya Rusia pada awal kurun ke-19, nyawa penduduk Red Indian terancam teruk.

Pengembara, pedagang, tentera dan mubaligh kulit putih ini mula berebut untuk menjajah dan menjadikan California milik mereka. Akibatnya, warga Red Indian diburu, dihalau ke dalam hutan, dibunuh dan ditindas, seperti yang sering kita lihat dalam filem serta drama-drama koboi.

Penjajah yang datang telah menindan dan membunuh orang Red Indian, penduduk asal tanah tandus ini.

Bahagian selatan California bersempadan dengan Mexico. Bagaimanapun daripada segi sejarah pula, dahulu Mexico dijajah oleh Sepanyol.  Alta California (utara) juga merupakan tanah jajahan mereka. Peperangan sering terjadi di sini, khususnya antara kumpulan pemberontak warga asal Mexico dengan penjajah Sepanyol, pendatang dari Eropah dan tentera kerajaan AS. Keadaan kucar kacir itu menyebabkan berlaku Perang Mexico-Amerika pada tahun 1846-1848.

Peperangan itu berakhir dengan Perjanjian Guadalupe Hidalgo dan melalui perjanjian itu, diputuskan Alta California diserahkan kepada AS.  Bahagian selatan California pula, iaitu Semenanjung Baja, menjadi milik Mexico. AS kemudiannya memecahkan Alta California menjadi California, Arizona, Nevada, Colorado serta Utah.

Penemuan emas di negeri tersebut pada tahun 1848 menyebabkan semakin ramai pendatang Eropah bertumpu ke California. Akibatnya, pergelutan untuk mendapatkan tanah terjadi. Peperangan demi peperangan dan kerakusan pendatang kulit putih untuk mengaut sumber alam California itu cuba dihalang oleh masyarakat Red Indian. Mereka tidak mahu tanah air mereka dirampas.

Malangnya, tindakan itu membawa bencana kepada mereka. Masyarakat Red Indian dihalau ke kawasan terpencil, dibunuh dan dijadikan hamba. Pembunuhan beramai-ramai sering kali berlaku, seperti di Yontoket, Clear Lake dan Old Shasta. Selain itu, ramai penduduk Red Indian yang meninggal dunia akibat kebuluran dan jangkitan penyakit.

Semua ini menyebabkan populasi masyarakat Red Indian California menyusut dengan teruk. Dianggarkan pada tahun 1850, jumlah populasi mereka ialah 150,000 orang, tetapi pada tahun 1900, ia merudum kepada 15,000 orang sahaja. 

Kota popular yang jadi rebutan dan menumpahkan banyak darah.

Seiring dengan kemerosotan jumlah penduduk asal, jumlah pendatang kulit putih pula meningkat dengan mendadak. Lebih-lebih lagi apabila jalan raya merentasi benua iaitu Lebuh raya Lincoln yang bermula di New York sampai ke California dibina pada 1913-1928. Ini diikuti pula oleh Route 66, jalan raya utama yang turut merentas dari pantai Timur ke Barat AS.

Kemajuan sistem pengangkutan ini meningkatkan industri pertanian, perlombongan, kejuruteraan dan hiburan di negeri tersebut. Ketika kebanyakan penduduk di negeri-negeri lain masih menggunakan kereta kuda, penduduk Los Angeles sudah menggunakan kereta sebagai pengangkutan utama. 

Perkembangan ini menyebabkan imigran dari luar, khususnya Mexico datang mencurah-curah ke Los Angeles, termasuk yang masuk secara haram dan juga dari Asia. Kelab-kelab hiburan, perjudian dan persundalan tumbuh bagai cendawan selepas hujan.

Lebuh raya merentasi benua membuatkan semakin ramai orang datang ke sini.

Masalah sosial bermula dan paling teruk, pembunuhan ke atas masyarakat Cina berlaku. Dikatakan tiga atau empat orang pendatang Cina dibunuh setiap hujung minggu di Los Angeles. Kemuncaknya ialah pembunuhan beramai-ramai di Calle de los Negros pada tahun 1871. Enam orang penduduk kulit putih dipenjarakan, tetapi dibebaskan beberapa hari kemudian kerana `kekurangan bukti’.

Kemajuan ekonomi Los Angeles semakin pesat apabila industri perfileman bermula di Hollywood pada awal kurun ke-20. Kesannya, jumlah imigran terus melonjak dengan menjadikan Hollywood sebagai kota harapan dan sekali gus, penuh dengan skandal.

Latar belakang inilah yang membentuk demografi California yang ada pada hari ini. Sekarang, penduduk California berjumlah 38 juta orang, dengan 40 peratus daripadanya ialah kulit putih manakala selebihnya berketurunan Mexico (30 peratus) serta pendatang dari Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Oleh kerana besarnya jumlah penduduk keturunan Mexico di California, saya dapat melihat dengan jelas, cukup banyak nama tempat di negeri tersebut berunsurkan Sepanyol/Mexico. Antaranya seperti San Jose, San Mateo, Contra Costa, Alameda, Sacramento, Mariposa, Bosque, Conejos dan El Dorado. Malah perkataan Los Angeles dan California itu sendiri berasal daripada pengaruh Sepanyol.

Bukan itu saja, cukup banyak stesen televisyen dan radio yang dikuasai oleh masyarakat keturunan Mexico. Daripada segi budaya, saya melihat masyarakat kulit putih AS dan penduduk keturunan Mexico mempunyai gaya hidup yang berbeza. Secara umumnya, masyarakat kulit putih AS peramah, menghormati orang lain dan bertatasusila. Namun masyarakat Mexico tidak begitu.

Penulis berlatarbelakangkan bukit yang dihiasi perkataan Hollywood

Jumlah penduduk California yang meningkat dengan cepat didorong juga oleh cuaca Mediterraneannya yang nyaman dan segar. Pun begitu, negeri berkenaan turut diancam bencana alam seperti gempa bumi, banjir dan ribut taufan. Oleh kerana itu, tidak banyak bangunan tinggi dibina di California.

Seperkara lagi, disebabkan Los Angeles dan Hollywood menjadi pusat industri hiburan dunia, maka pegangan agama dan moral menjadi longgar. Budaya songsang hubungan sejenis Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berleluasa dan diterima di sana.

Terdapat banyak perkampungan gay di California, misalnya di daerah Castro (San Francisco), Hill Crest (San Diego) dan Barat Hollywood. Untuk pengetahuan anda, California merupakan negeri pertama di AS yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Perkara ini bermula pada tahun 1999.

Malah pada 2011, California menjadi negeri pertama di AS yang mewajibkan pengajaran sejarah LGBT di sekolah-sekolah dan melarang diskriminasi terhadap kecenderungan seksual seseorang.

Seperti yang saya sebutkan tadi, California sememangnya indah, tetapi tidak ramai yang tahu, ada kisah menggerunkan di sebalik keindahan itu.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

‘Bunian tak semua cantik’… Miman gambarkan makhluk misteri dalam karyanya

Lukisan bunian yang dihasilkan oleh pelukis muda berbakat, Miman, baru-baru ini mencuri perhatian ramai di media sosial.  Berbeza dengan gambaran...

More Articles Like This