“Saya dilahirkan memang bukan anak orang senang” – Usia 17 tahun Che Ta dah mula bekerja demi ubah kehidupan keluarga

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PELAKON dan usahawan, Rozita Che Wan, 51, mendedahkan dirinya pernah hidup susah dan tinggal di kawasan flat sebelum mengecapi kemewahan seperti hari ini.

Rozita yang mesra disapa Che Ta berkata, dia juga bukan dilahirkan sebagai anak orang berada.

“Saya dilahirkan memang bukan anak orang senang. Ketika arwah bapa meninggal dunia, saya baru berusia 15 tahun dan emak pula seorang suri rumah serta tidak pernah bekerja seumur hidupnya. 

“Emak juga terpaksa buat pelbagai kerja termasuk bekerja di kantin sekolah dan arwah Toklah yang menjaga kami adik beradik.

“Dari situ, saya sudah tengok kesusahan emak bekerja keras untuk membesarkan kami tetapi emak tidak pernah minta bantuan orang lain, pun,” katanya.

Namun, kata Che Ta, kehidupannya sekeluarga mula berubah bila dia bekerja sebagai pramugari pada usia 17 tahun dengan gaji mencecah RM5,000 sebulan.

“Ketika bekerja sebagai pramugari, saya juga berkahwin dengan juruterbang pada usia 20 tahun tetapi bercerai pada usia 30 tahun.

“Selepas bercerai, saya tiada pekerjaan serta turun naik mahkamah ketika itu. Mujur, saya ada duit simpanan dan bila sudah menang kes baru saya dapat duit untuk bayar peguam,” ujarnya.

Enggan menoleh ke belakang lagi, Che Ta berkata, dia kembali dalam bidang peragaan dan menceburi bidang lakonan selepas bercerai untuk menyara dirinya dan anak-anak.

“Kaum  wanita juga tidak boleh hidup terlalu bergantung sangat dengan lelaki.

 “Saya sendiri, bila bercerai tak dapat harta apa pun. Selama 10 tahun, saya hidup menjanda sampailah saya berkahwin dengan Zain,” kata isteri kepada pelakon Zain Saidin itu.

Tambah Che Ta lagi, dia percaya lelaki akan lebih menghormati jika wanita ada pendapatan mereka sendiri.

“Saya juga berlakon pada usia yang agak lewat tapi tidak terlalu lambat untuk kita mulakan sesuatu kerana yang penting ada kemahuan.

“Tapi, sampai bila saya nak berlakon sebab itu saya buat pelbagai bisnes. Kalau anda suri rumah pun masih boleh buat bisnes dan menjana pendapatan,” katanya.

Che Ta ditemui pada sesi bual bicara Kemandirian Wanita bersama Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed. .

Ketua Penjenamaan dan Editorial Perkeso, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin selaku moderator dalam program yang berlangsung di pusat beli-belah, My Town Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, majlis  pelancaran kempen Fiesta Perkeso Membawa Senyuman disempurnakan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. Hadir sama, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, tunggak sesebuah keluarga adalah golongan wanita, ibu dan suri rumah yang tidak bergaji.

Menurutnya, sebelum ini suri rumah juga tidak ada sebarang perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu menjalankan tanggungjawab mereka.

“Sebab itu Perkeso memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) untuk melindungi golongan wanita dan suri rumah bawah 55 tahun jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit dengan  pelbagai faedah termasuk kematian.

“Kita adalah negara keempat di dunia yang perkenalkan skim sebegini.

“Dengan caruman yang begitu rendah untuk mereka terlindung jika berlaku kemalangan, kecederaan dan penyakit serta mendapat pelbagai faedah kematian, pencen bulanan dan dialisis,” katanya.

Acara berkenaan turut disemarakkan dengan kehadiran lebih 10 artis yang turut menjadi pempamer selama tiga hari program Perkeso Membawa Senyuman. Antaranya Tyzo Xander, Izue Islam, Ako Mustapha, Anne Abdullah, Darling Ngasri, Syanie, Ani Maiyuni, Haleeda, Ayu Damit dan Azza Elite.

“Kita berharap Perkeso dapat menganjurkan lebih banyak program yang melibatkan golongan karyawan seni sebegini kerana melalui program ini, kami mendapat lebih banyak maklumat bagi perlindungan keselamatan memandangkan artis banyak bekerja sendiri. 

“Maklumat sebegini akan kami kongsikan pula dengan peminat di luar sana,” jelas Tyzo. 


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

TV AlHijrah, MAIWP santuni 30 pelajar asnaf menerusi program Bangkit Asnaf 2026

PEMBANGUNAN modal insan dan suntikan motivasi berterusan menjadi kunci utama dalam usaha membebaskan golongan asnaf daripada belenggu kemiskinan tegar. Menyedari...

More Articles Like This