Solat tarawih, bolehkah didirikan kurang dari 8 rakaat?

Dari Penulis

Pada umumnya hari ini solat tarawih dilakukan dengan 2 keadaan iaitu pertama sebanyak 8 rakaat dengan 4 salam dan diakhiri dengan 3 rakaat witir dan 2 salam. Manakala yang kedua dilakukan sebanyak 20 rakaat iaitu 10 salam dan diakhiri dengan 3 rakaat witir dan 2 kali salam.

Dalam satu riwayat dari Ummul Mukminin Saidatina Aisyah r.ha mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. melakukan solat tarawih di masjid beberapa malam (ada yang mengatakan empat malam) dalam bulan Ramadan bersama-sama para sahabat. (HR Bukhari & Muslim)

Pada malam kelima dan seterusnya hingga akhir bulan Ramadan, Baginda hanya melakukan ibadah ini di rumah. Ini kerana Baginda s.a.w. berasa bimbang jika para sahabat tersalah anggap dan menjadikan solat ini sebagai fardu (wajib) dan sudah tentu akan memberi kesukaran bagi mereka melakukannya.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Jabir r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w. melakukan solat tarawih sebanyak 8 rakaat dan setelah itu diikuti solat witir. Pada zaman khalifah Umar al-Khattab r.a. beliau orang pertama yang mengerah umat Islam menunaikan solat tarawih secara berjamaah di masjid di bawah pimpinan Ubai bin Kaab r.a.

Solat tarawih dilakukan sepanjang bulan Ramadan sebanyak 20 rakaat dan ditambah dengan 3 rakaat solat witir.

Solat kurang 8 rakaat

Bilangan rakaat bagi solat tarawih telah ditentukan secara umum sebagaimana yang dinyatakan di atas, namun persoalannya bolehkah solat tarawih ini dilakukan kurang dari 8 rakaat atau dilakukan lebih dari 20 rakaat?

Dalam hal ini sebenarnya Baginda s.a.w. tidak pernah menyebut bilangan rakaat solat. Dan Imam as-Syafie berkata,

“Aku telah melihat orang ramai mendirikan solat tarawih di Madinah 39 rakaat, di Mekah 23 rakaat dan ia bukanlah satu perkara yang sempit (terikat dengan bilangan). Jika mereka panjangkan qiyam berdiri (dengan bacaan al-Quran) kurangkan rakaat adalah baik.

Dan sekiranya mereka membanyakkan sujud (bilangan rakaat) dan meringankan berdiri (ringkaskan bacaan) juga adalah baik. Tetapi yang pertama lebih aku sukai”

Dari pernyataan ini jelas bahawa boleh untuk mendirikan solat tarawih kurang dari 8 rakaat. Mungkin kerana seseorang itu menghadapi kesukaran untuk lakukan 8 rakaat kerana terlalu sibuk disebabkan bertugas di waktu malam seperti doktor di bahagian kecemasan  atau berasa lelah dan tidak mampu mencapai 8 rakaat sebagaimana kebiasaan maka tidak menjadi masalah.

Apa yang penting dia tetap berusaha untuk melaksanakan solat tersebut. Sementalah lagi solat ini hukumnya sunat dan merupakan ibadah tambahan di bulan Ramadan. Namun amat rugi jika mereka tidak mengambil kesempatan memperbanyakkan amalan di bulan ini kerana setiap amalan ibadah itu dinilai dengan berganda-ganda berbanding bulan selain Ramadan.

Sekalipun dia hanya mampu mendirikan solat tarawih kurang dari 8 rakaat seeloknya lakukan sebagaimana yang disukai oleh Imam as-Syafie iaitu dengan memanjangkan bacaan al-Quran ketika berdiri, membaca setiap kalimah dengan terang dan jelas tanpa perlu tergesa-gesa. Biarlah amalan itu kurang dari sudut kuantiti tetapi lebih kepada kualiti. Itu lebih baik dari tidak melaksanakannya langsung.  

Adapun keutamaan solat ini menurut Abu Hurairah r.a. dari Baginda s.a.w. bersabda,

“(Sesiapa yang berdiri (beribadah) pada malam Ramadan kerana iman dan mengharapkan ganjaran (daripada Allah), diampunkan dosa-dosanya yang telah lepas” (HR Muslim)

Jadi jangan lepaskan solat ini walau sesibuk dan sepenat manapun kita, kerana ganjaran yang disediakan sangatlah lumayan. Buatlah semampu mungkin walaupun hanya 2 rakaat terawih dan 1 witir sekalipun dengan mengharapkan balasan ganjaran dari Allah. Insya Allah ia tetap akan dinilai dan beroleh ganjaran yang besar dari Allah. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This