KEDIAMAN milik pelakon dan model popular Cara Delevingne di Los Angeles, Amerika Syarikat musnah dalam kejadian kebakaran, semalam.
Ketika insiden tersebut berlaku, Cara,32, tiada di berada dalam rumahnya kerana terbabit dengan pementasan teater West End di United Kingdom, London.
Kebakaran bermula di bahagian belakang rumah sebelum merebak sehingga menyebabkan banglo mewah bernilai sekitar RM 33 juta (AS$6 juta) itu musnah dijilat api.
Selepas mengetahui kejadian tersebut, Cara meluahkan rasa sedih menerusi entri di Instagram.
Malah, pada mulanya dia menyangkakan dua ekor kucingnya tidak dapat diselamatkan namun berkongsi rasa lega selepas mengetahui keadaan haiwan peliharaannya itu terselamat.

“Hati saya hancur. Hidup boleh berubah dalam sekelip mata. Hargailah apa yang kita ada sementara masih ada.
“Mereka (kucing) terselamat! Terima kasih pihak bomba,” tulisnya.
Difahamkan kejadian malang tesebut tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku di lokasi perumahannya iaitu Studio City Hollywood.
Menerusi laporan daripada pihak Bomba Daerah Los Angeles (LAFD), dua individu mengalami kecederaan termasuk seorang anggota bomba dan penduduk rumah kawasan elit terbabit yang dikejarkan ke hospital. Keadaan mereka bagimanapun stabil.
13 trak dan 94 anggota bomba dikerahkan untuk memadamkan kebakaran yang mengambil masa kira-kira dua jam sebelum api berjaya dipadamkan.

