PERUNTUKAN awal berjumlah RM100,000 akan disalurkan segera bagi tujuan pembersihan dan kerja-kerja awalan susulan insiden kebakaran di stor Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 14(1), semalam.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) Putrajaya dalam kenyataan memaklumkan, peruntukan awal itu telah diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengadakan tinjauan ke lokasi kejadian, malam tadi.
Menurut kenyataan itu, peruntukan itu akan digunakan bagi kerja penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran.
Selain itu, katanya, ia juga akan digunakan bagi pembaikan kecil di kawasan kebakaran dan bangunan berhampiran serta lain-lain kerja yang berkaitan.
“JPWP Putrajaya telah mengambil tindakan segera untuk menutup kawasan terjejas serta kawasan berhampiran bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah terpelihara.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden kebakaran ini.
“Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian ini,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.
Semalam, media melaporkan bahagian belakang pentas dewan SMK Putrajaya Presint 14(1) terbakar dalam kejadian pada pukul 6 petang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14(1), Penolong Penguasa Bomba, Dianty Hussain berkata, kebakaran tersebut melibatkan kerusi dan meja yang disimpan di bahagian belakang pentas dewan dengan anggaran keluasan kebakaran kira-kira 12×50 kaki persegi.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

