BIARPUN sehingga kini Norman Hakim tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu membabitkan anak perempuannya, Marissa Dania Hakim, namun dia tetap tidak lupa dengan tanggungjawabnya sebagai bapa.
Ujar Norman atau Mohamed Nurhakim Zaidon,48, dia lebih memilih untuk menyelesaikan isu membabitkan keluarganya secara tertutup tanpa perlu dihebahkan kepada umum.
Pada masa sama, Norman turut menasihati bekas isterinya, Abby Abadi untuk tidak terus berkongsi kisah mengenai hal keluarga di media sosial.
“Tak pernah sesaat saya lepas tangan. Sudah, habis disini. Nanti sambung sembang masa iftar.
“Tak perlu semua benda kena kongsi seantero Malaya,” tulis Norman menerusi ruangan komen di entri Instagram Abby.
Abby menerusi hantaran tersebut telah meluahkan perasaan kesal berkongsi kisah Marissa yang kahwin lari di Thailand menerusi jemputan podcast sehingga ada pihak mengambil kesempatan dengan memutar belit pendedahannya.
Perkongsian Abby turut mendapat perhatian Norman yang pada masa sama menasihati bekas isterinya itu untuk bertenang dan berhenti berkongsi cerita mengenai anak kedua mereka.
“Istighfar. Bawa bertenang. Lagi banyak menulis, lagi banyak salah faham nanti,” tegurnya.
Tidak mendiamkan diri, Abby dilihat turut membalas komen Norman apabila memberitahu dia sangat kecewa dengan sikap aktor bertubuh sasa itu.

“Isu ini isu besar. Selagi tak selesai, selagi itu orang akan bercerita.
“Antara kita, memang ini yang berlaku pun. Ada lagi yang saya tak tulis. Awak memang sangat-sangat mengecewakan!
“Saya penat lama menyimpan. Kasihan anak-anak saya, dari kecil awak buat sesuka hati awak sahaja. Sekarang anak-anak dah besar.
“Jadi tak perlu berbaik pun tak mengapa. Tak ada beza. Selesaikan apa yang patut saja dan yang tertangguh sekian lama.
“Kalau tak sedia, menjawab saja depan Allah SWT nanti,” balas Abby.
Menjengah di ruangan komen, ramai yang bersimpati dengan apa yang sedang dialami Abby ketika ini.
Rata-rata turut mendoakan agar semua keluarga dapat duduk berbincang dengan tenang bagi mencari titik penyelesaian tanpa berbalah.

