Orang yang celaka di bulan Ramadan

Dari Penulis

Banyak dalil yang menyebut tentang keutamaan dan keistimewaan bulan Ramadan. Diantaranya turun rahmat dan keampunan Allah bagi mereka yang berpuasa yang didasari dengan iman dan keikhlasan. Selain itu di bulan Ramadan diberikan kelebihan dengan beroleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda bagi orang yang melakukan amal kebajikan.

Namun begitu terdapat satu dalil daripada Baginda s.a.w. yang mengingatkan umat Islam tentang orang yang dilaknat di dalam bulan Ramadan. Siapakah orang yang mendapat laknat di dalam bulan Ramadan? Sabda Baginda s.a.w.

“Celakalah seseorang, aku disebut-sebut di depannya dan ia tidak mengucapkan selawat kepadaku. Dan celakalah seseorang, bulan Ramadan menemuinya kemudian keluar sebelum ia mendapatkan ampunan. Dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana kebaktiannya)” (HR Tirmizi)

Dalam riwayat lain yang lebih panjang menyebutkan,

“Jabir bin Abdullah berkata, Nabi s.a.w. menaiki mimbar, ketika Baginda menaiki anak tangga yang pertama Baginda menyebut “Amin”. Kemudian apabila menaiki anak tangga kedua Baginda menyebut “Amin”. kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga Baginda menyebut “Amin”. Para sahabat bertanya,

“Ya Rasulullah, kami mendengar engkau menyebut amin sebanyak tiga kali”. Baginda menjawab, “Ketika aku menaiki anak tangga pertama Jibril datang kepadaku dan berkata, “celaka sungguh seseorang yang bertemu Ramadan kemudian keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya”. Lalu aku menyebut amin.

Kemudian Jibril berkata, “celakalah seseorang yang masih hidup kedua orang tuanya atau salah seorang masih hidup tetapi hal itu tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut amin.

Kemudian Jibril berkata, “Celakalah seseorang yang engkau (Nabi s.a.w.) disebut-sebut di depannya tetapi dia tidak mengucapkan selawat kepada mu” Aku pun menyebut amin”. (HR Bukhari)

Dan dalam riwayat yang lain Baginda bersabda,

“Celakalah seorang hamba yang mendapati bulan Ramadan kemudian Ramadan berlalu dalam keadaan dosa-dosanya belum diampuni” (HR Ahmad)

Kenapa dilaknat dengan celaka?

Sesungguhnya Allah S.W.T. menjadikan bulan Ramadan secara keseluruhannya adalah bulan keampunan. Malah setiap amal kebaikan atau ibadah yang dilakukan tidak kira yang wajib atau sunat semuanya dikira sebagai keampunan dan beroleh ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Tidak perlu amalan sunat, atau doa khusus memohon keampunan, cukup dengan amalan wajib bagi setiap individu seperti puasa atau solat fardu, jika dilakukan semata-mata ikhlas kerana Allah maka baginya adalah keampunan.

Dari Abu Hurairah r.a. telah bersabda Baginda s.a.w.

“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan keimanan dan pengharapan, diampuni dosa-dosanya yang lalu” (HR Bukhari)

Jika puasa yang wajib dilakukan pun sudah mendapat keampunan Allah, apatah lagi amalan-amalan lain seperti berwuduk dengan sempurna akan gugur segala dosa-dosanya, solat sunat tarawih, beribadat di malam al-Qadar, sedekah, zakat dan banyak lagi amalan yang memang dijanjikan Allah akan terhapus segala dosa-dosanya.

Lalu dengan begitu banyak sekali ruang yang ada Allah sediakan untuk memperoleh keampunan dari Nya tetapi masih ada lagi yang tidak mendapat keampunan, bukankah memang selayaknya orang ini dianggap sebagai celaka dan dilaknat Allah.

Alangkah ruginya orang begini kerana mereka langsung tidak mahu mengambil peluang dari sifat kasih dan sayang Allah yang Allah kurniakan di bulan Ramadan. Mungkin mereka ini adalah orang yang disebut Baginda s.a.w. dalam hadisnya.

“Boleh jadi ada orang yang berpuasa dia tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan kelaparan. Boleh jadi ada orang yang bangun qiamulail tetapi dia tidak mendapat apa-apa daripada qiamulailnya melainkan berjaga malam” (HR Ibnu Majah)

Mungkin juga mereka dalam kalangan yang disebut Baginda s.a.w. iaitu,

“Sesiapa yang tidak meninggalkan ucapan dusta, keji dan masih beramal dengan pembohongan itu maka Allah tidak berhajat ke atas puasanya (perbuatannya yang meninggalkan makan dan minumnya)” (HR Bukhari)

Oleh itu jangan sesekali persiakan setiap saat dan detik dalam bulan ini. Raih dan rebutlah peluang yang disediakan Allah kerana di bulan inilah pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup dengan serapat-rapatnya. Janganlah sesekali menjadi golongan yang disebutkan di atas. Wallahu a’lam

_____________________________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Syarahan Perdana Tokoh Maal Hijrah 1448H Beri Fokus Kepada Mesej Keamanan & Peradaban Kontemporari

PERISTIWA Maal Hijrah tidak seharusnya dibiarkan berlalu sekadar penceritaan lipatan sejarah dan sambutan tahunan semata-mata, sebaliknya ia perlu diangkat...

More Articles Like This