KETERUJAAN kembali apabila industri seni Malaysia bersiap sedia untuk mempamerkan bakat yang mempesonakan pada edisi ke-19 Anugerah Seni Cameronian BOH (19BCAA).
Bersedia untuk merai kecemerlangan penggiat seni persembahan negara yang terus memikat penonton dan mengekalkan semangat seni sepanjang tahun lalu.
Seraya kita bersedia untuk menghargai persaudaraan seni tempatan yang cemerlang, kita juga akan bersama-sama menikmati keajaiban yang mereka ciptakan, menyemarakkan hati dan minda yang tidak terbatas.
Pencalonan 19BCAA telah diumumkan baru-baru ini di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) di 1 Utama Shopping Centre, Petaling Jaya, Selangor.
Ini merupakan kemuncak acara yang dinilai sepanjang tahun lepas dengan 74 produksi dari kategori tarian, muzik, teater muzikal dan teater diadili oleh sekumpulan juri yang hebat.
Terdapat sejumlah 37 sub-kategori termasuk Persembahan/Pelakon Terbaik untuk Watak Utama, Kostum Terbaik, Penggayaan dan Solekan, Nilai Produksi dan lebih banyak anugerah untuk kategori bakat persembahan, teknikal dan kreatif.
Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations, Jason Foo, berkata, 19BCAA adalah sesuatu yang istimewa kepada BOH kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-95.

“Jika diimbas kembali, saya melihat terdapat banyak persamaan antara menyempurnakan seni pembikinan teh dan memajukan industri seni persembahan.
“Kedua-duanya memerlukan semangat yang tidak putus-putus dengan antusias yang kuat, dedikasi dan komitmen untuk menguasai kraf masing-masing.
“Melangkah ke hadapan, janji BOH adalah untuk sentiasa melabur dalam usaha ‘sustainabili–tea’supaya kami boleh meneruskan pembuatan.
“Matlamat dalam perjalanan jenama kami adalah untuk berkongsi teh yang lazat kami dengan generasi akan datang disamping meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kami berkhidmat,” katanya.
Pihaknya yakin industri seni persembahan juga akan terus memupuk pertumbuhan ekspresi kreatif dan memacu kecemerlangan pada tahun-tahun mendatang.
Presiden Kakiseni, Low Ngai Yuen berkata, pihaknya mendedahkan pencalonan 19BCAA, adalah penting untuk mengiktiraf dedikasi yang dicurahkan tanpa henti sama ada di atas dan luar pentas.
“Penganugerahan ini bukan sahaja mengenai bakat tetapi pengiktirafan kecemerlangan yang dipamerkan melalui antusias yang tidak terkira banyaknya, sinonim dengan komuniti seni persembahan Malaysia.
“Ini adalah tahun ke-19 Anugerah Seni BOH Cameronian, oleh itu marilah kita sama-sama luangkan sedikit masa untuk mengiktiraf legasi di sini.
“BCAA telah menjadi juara kecemerlangan yang teguh selama hampir dua dekad, berdedikasi untuk mengiktiraf yang terbaik.
“Di samping itu, adalah penting untuk menyerlahkan usaha berterusan dalam penghakiman dan inovasi dalam seni persembahan,” ujarnya.
Katanya lagi, perubahan sedang berlaku dalam industri seni persembahan dan BCAA menerima evolusi ini.
“Ini adalah komitmen untuk kekal relevan dan responsif terhadap sifat dinamik persada seni persembahan.
“Ia bagi menghormati legasi dan terus meningkatkan bakat luar biasa untuk tahun-tahun mendatang,” ulasnya.
Tema tahun ini Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan, telah dipilih untuk meraikan penerokaan kreativiti tanpa batas dalam komuniti seni persembahan.
Anugerah Seni BOH Cameronian turut mendapat sokongan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dan penaja utama, BOH Plantations.
Majlis Anugerah untuk 19BCAA dijadualkan berlangsung pada 5 Mei depan.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

